BERITA TERKINI   LTdL 2026: Pelumba TotalEnergies Nicolas Breuillard menang Peringkat 5 dari Tapah ke Genting Highlands | Mohd Shuhaily serah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut, keadilan buat semua pihak | AKPS sahkan rakaman dipetik daripada CCTV, insiden berlaku 28 Sept lepas - Mohd Shuhaily | DNB selesai pembiayaan RM5.2 bilion, sokong fasa pertumbuhan 5G Malaysia seterusnya | Pentadbiran Persekutuan, negeri digalak guna aplikasi Respons Rakyat agar saluran maklum balas kerajaan lebih inklusif, pantas - KSN | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Dipengaruhi Tekanan Jualan

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan aliran menurun pada tengah hari dipengaruhi tekanan jualan, menjejaki prestasi bercampur-campur pasaran global apabila kenaikan berterusan hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengehadkan sentimen risiko.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 15.36 mata kepada 1,635.81 daripada paras penutup Rabu pada 1,651.17.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.30 mata lebih rendah pada 1,649.87 dan bergerak antara 1,634.39 dan 1,649.87 sepanjang sesi dagangan pagi.

Ad Banner

Sentimen pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 583 berbanding 305, manakala 464 kaunter tidak berubah, 1,421 kaunter tidak diniagakan dan 12 kaunter digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.65 bilion saham bernilai RM1.18 bilion.

Apex Securities Bhd berkata sentimen pasaran turut terjejas oleh pengambilan pekerja sektor swasta AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, meningkat sebanyak 90,000 pada September, sekali gus mengimbangi kelegaan daripada inflasi teras perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang lebih rendah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pelabur kini menumpukan perhatian kepada data guna tenaga bukan ladang (NFP) September yang akan diumumkan pada Jumaat bagi mendapatkan petunjuk mengenai langkah Rizab Persekutuan AS seterusnya.

"Dalam pada itu, rundingan AS-Iran yang terhenti menyebabkan harga minyak kekal tidak menentu dan pasaran China masih ditutup sempena cuti Golden Week,” katanya dalam satu nota.

Sehubungan itu, firma broker saham berkenaan menjangkakan FBM KLCI akan diniagakan secara berhati-hati menjelang pengumuman laporan data pekerjaan AS, dengan pemulihan yang lebih berterusan bergantung pada penurunan hasil bon AS serta kemajuan nyata dalam rundingan AS-Iran.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing susut enam sen kepada RM9.93 dan RM12.90, Public Bank berkurangan empat sen kepada RM4.66, CIMB turun lima sen kepada RM7.74 dan IHH Healthcare merosot 19 sen kepada RM7.64.

Dalam dagangan aktif, Zetrix AI dan V.S Industry masing-masing meningkat setengah sen kepada 16.5 sen dan 28.5 sen, Jaks Resources susut setengah sen kepada 20 sen, saham yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, GB Bond merosot 2.5 sen kepada 22.5 sen dan Dagang Nexchange pulih 1.5 sen kepada 50 sen.

Antara kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.26 kepada RM41.66, MI Technovation meningkat 13 sen kepada RM5.33, Ta Ann menambah 12 sen kepada RM5.92, Malayan Cement mengukuh 11 sen kepada RM5.56 dan Genting Plantations naik 10 sen kepada RM5.63.

Kuala Lumpur Kepong mendahului kaunter rugi, susut 76 sen kepada RM21.44. Allianz Malaysia berkurangan 62 sen kepada RM21, manakala Fraser & Neave, Hong Leong Industries dan Batu Kawan masing-masing susut 42 sen kepada RM21.32, RM16.04 dan RM20.10.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 87.65 mata kepada 17,487.02, Indeks FBM Emas berkurangan 94.18 mata kepada 12,197.83 dan Indeks FBM Top 100 turun 99.00 mata kepada 11,985.44.

Indeks FBM Emas Shariah pula susut 87.69 mata kepada 12,088.65, manakala Indeks FBM ACE merosot 31.14 mata kepada 5,503.14.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.16 mata kepada 178.80, Indeks Tenaga berkurangan 7.79 mata kepada 837.91, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 148.77 mata kepada 19,067.72 dan Indeks Perladangan merosot 121.85 mata kepada 9,074.82.

-- BERNAMA