Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Rendah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Khamis, dipengaruhi oleh harga minyak kacang soya yang lebih rendah di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata sentimen pasaran turut terjejas dengan eksport minyak sawit yang lebih perlahan pada September.
“Harga minyak kacang soya yang lebih rendah dan permintaan yang merosot dari negara pengimport utama minyak sawit turut memberi tekanan kepada pasaran,” katanya kepada Bernama.
Ng berkata syarikat juruukur kargo global, Intertek Testing Services (ITS) melaporkan eksport minyak sawit Malaysia merosot sebanyak 17.1 peratus bulan ke bulan pada September kepada kira-kira 1.13 juta tan.
Mengenai prospek harga, Ng melihat paras sokongan pada kira-kira RM4,500 satu tan, dengan paras rintangan pada RM4,650.
Pada penutup dagangan, kontrak Oktober 2026 menyusut RM50 kepada RM4,374 satu tan, manakala kontrak November 2026 merosot RM52 kepada RM4,461 satu tan, dan kontrak Disember 2026 berkurang RM56 kepada RM4,554 satu tan.
Kontrak Januari 2027 turun RM65 kepada RM4,652 satu tan, Februari 2027 susut RM75 kepada RM4,745, dan Mac 2027 merosot RM85 kepada RM4,834.
Jumlah dagangan merosot kepada 106,630 lot berbanding 131,293 pada Rabu, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 341,306 kontrak daripada 464,043 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan berkurang RM100 kepada RM4,500 satu tan.
-- BERNAMA