BERITA TERKINI   Aichi-Nagoya 2026: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang raih emas kelapan negara menerusi acara keirin lelaki | Piala ASEAN FIFA 2026: Harimau Malaya perlu kekalkan momentum menjelang pertemuan menentang Vietnam - PM Anwar | Perdana Menteri Nepal Balendra Shah beri jaminan kerjasama penuh bantu sahkan status 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan banjir besar - PM Anwar | Aichi-Nagoya 2026: Skuad skuasy wanita negara pertahan emas acara berpasukan tewaskan Hong Kong 2-1 | LTdL 2026: Pelumba Modern Adventure Pro Cycling Riley Pickrell menang Peringkat 6 dari Pandan Indah ke Rembau | 

Belanjawan 2027: Lebih Banyak Insentif Diperlukan Untuk Percepatkan Penggunaan AI

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) – Kerajaan wajar menyediakan insentif dalam bentuk kredit dan pengecualian cukai kepada syarikat berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan, serta menyokong pengembangan pusat data bagi menarik lebih banyak pelaburan teknologi AI ke Malaysia.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pandai Education Sdn Bhd (Pandai), Khairul Anwar Mohamad Zaki hari ini berkata insentif ini, jika dimasukkan dalam Belanjawan 2027 akan mempercepatkan penggunaan AI.

Ad Banner

Beliau juga menyatakan bahawa penekanan yang lebih besar perlu diberikan kepada pembangunan bakat dan modal insan bagi membantu syarikat tempatan mendapatkan pekerja mahir, khususnya dalam bidang teknologi dan AI.

Sokongan sedemikian penting bagi syarikat teknologi seperti Pandai semakin bergantung pada AI untuk menyediakan pembelajaran diperibadikan kepada bilangan pelajar yang kian meningkat, katanya.

"Kami memerlukan bakat tempatan yang berkualiti untuk menyokong usaha kami, terutamanya dalam bidang teknologi dan AI," katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau memberi contoh bagaimana sistem AI syarikat itu, P-Bot, kini menggunakan lebih satu bilion token (unit teks yang diproses oleh sistem AI) setiap bulan, oleh itu, mereka memerlukan banyak sokongan dalam aspek ini.

Pandai Education adalah syarikat pemula niaga teknologi pendidikan (edtech) tempatan dilancarkan pada 2020, ia menyediakan platform pembelajaran dalam talian, menawarkan kelas tambahan serta sumber pembelajaran berasaskan kurikulum untuk pelajar, guru dan ibu bapa.

Khairul Anwar berkata Pandai telah meningkatkan jumlah pelajar berdaftarnya kepada 1.5 juta orang, berbanding kira-kira 100,000 orang pada tahun pertama penubuhannya, hasil pendapatan syarikat telah meningkat sebanyak 45 kali ganda sejak lima tahun lalu, bagaimanapun beliau tidak mendedahkan sebarang angka secara spesifik.

Beliau berkata Pandai menggunakan alat AI untuk menyesuaikan kuiz, ujian, kad imbas dan bahan pembelajaran lain berdasarkan prestasi pelajar, termasuk kekuatan dan kelemahan mereka merentas pelbagai subjek, topik dan tahap kesukaran.

Fokus platform ini adalah untuk meningkatkan akses kepada pendidikan digital dan memastikan pelajar terus berminat melalui kandungan yang disesuaikan dengan keperluan individu, katanya.

“Pandai mempunyai satu matlamat yang jelas, iaitu menyediakan pendidikan berkualiti yang diperibadikan kepada seramai mungkin pelajar.

“Apabila bercakap tentang teknologi, orang sering mengatakan bahawa teknologi merupakan penyama taraf yang hebat. Walau bagaimanapun, apa yang kita lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah teknologi juga boleh menjadi pemisah yang ketara, yang melebarkan jurang antara mereka yang mempunyai akses kepada teknologi dan mereka yang tidak mempunyainya,” kata Khairul Anwar,

Menurut beliau, teknologi boleh membantu merapatkan jurang pendidikan, terutamanya bagi pelajar yang mempunyai akses terhad kepada sumber pembelajaran berkualiti, sebanyak 30.3 peratus daripada pelajar Pandai berasal dari kawasan luar bandar.

 

Pelaburan Perluas Ciri-ciri Pandai

Khairul Anwar berkata syarikat itu memperoleh pelaburan dari luar pertamanya sebanyak RM1.2 juta daripada 500 Southeast Asia pada awal 2021, diikuti dengan pelaburan daripada pelabur lain dari pelbagai negara.

500 Southeast Asia merupakan salah satu pengurus dana modal teroka disokong oleh Khazanah Nasional Bhd menerusi Dana Impak, bertujuan memperkukuh ekosistem syarikat pemula niaga di Malaysia dengan menyalurkan modal pemangkin kepada syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi tinggi.

Pandai menawarkan versi percuma platformnya, manakala Mod Luar Talian, membolehkan akses kepada kandungan terpilih tanpa sambungan Internet selepas ia dimuat turun dan diselaraskan.

Khairul Anwar berkata pembiayaan itu membolehkan platform tersebut berkembang daripada sekadar menawarkan kuiz asas kepada penyediaan kandungan komprehensif berasaskan kurikulum untuk pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, termasuk nota, kad imbasan, video, eksperimen interaktif, kelas secara langsung dan ciri pembelajaran dikuasakan oleh AI.

 

 

Pertumbuhan dan Rancangan Serantau

Khairul Anwar berkata keutamaan Pandai bagi tempoh tiga tahun akan datang termasuk menjangkau lebih ramai pelajar yang kurang mendapat akses pendidikan, terutamanya mereka yang berada di luar bandar raya utama, serta bekerjasama lebih rapat dengan rakan kongsi ekosistem pendidikan, khususnya Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kami mempunyai dua agenda utama untuk tempoh tiga tahun akan datang. Pertama, untuk mendekati lebih ramai pelajar yang kurang bernasib baik. Mereka yang berada di kawasan luar bandar paling memerlukan bantuan. Kami juga mahu bekerjasama rapat dengan rakan kongsi ekosistem, terutamanya dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Dua tahun lepas, kami mula bekerjasama dengan lebih rapat bersama KPM. Kini, kami dibenarkan untuk masuk ke sekolah-sekolah. Kami telah melawat lebih daripada 600 buah sekolah secara fizikal pada tahun ini,” katanya.

Khairul Anwar berkata Pandai akan terus meneroka peluang di Singapura dan Indonesia serta mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dan Brunei.

-- BERNAMA