Pengilang AS Alih Sumber Input Dari China Ke Malaysia Susulan Tarif - AMCHAM
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pengilang Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi di Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap input dari China dan semakin meningkatkan sumber bekalan dari Malaysia susulan pelaksanaan tarif AS, menurut Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).
Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Datuk Siobhan Das berkata 43 peratus pengilang yang mendapatkan input dari China mengurangkan kebergantungan terhadap negara itu selepas tarif berkuat kuasa, manakala tiada yang melaporkan peningkatan kebergantungan.
Beliau berkata 36 peratus responden turut menyesuaikan strategi sumber bekalan atau pengeluaran bagi mematuhi keperluan peraturan asal barangan, manakala 34 peratus meningkatkan bahagian input yang diperoleh dari Malaysia.
“Walaupun berdepan semua gangguan itu, 86 peratus pengilang berkata model perniagaan asas mereka tidak berubah dengan ketara.
“Mereka mengubah sumber bekalan, penetapan harga dan pengeluaran, tetapi pada asasnya tidak mengubah komitmen mereka. Mereka menyesuaikan diri dan bukannya berundur, dan sebahagian daripada penyesuaian itu mewujudkan peluang di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil tinjauan AMCHAM bertajuk ‘Invested in Malaysia: The Economic Impact and Outlook of American Business’ di sini, hari ini.
Sementara itu, Siobhan berkata responden sektor pembuatan melaporkan jumlah kos projek sebanyak RM42.86 bilion bagi 2024-2025 yang dilaburkan dalam operasi mereka di Malaysia, meningkat hampir 51 peratus berbanding tinjauan sebelumnya.
Beliau berkata dapatan itu mencerminkan pandangan syarikat terhadap Malaysia untuk jangka panjang, selain menunjukkan keyakinan terhadap negara ini serta komitmen jangka panjang yang jelas.
“Apa yang amat menarik ialah walaupun dalam kalangan pengilang yang mencatatkan penurunan hasil dalam tempoh tinjauan ini, jangkaan mereka masih menunjukkan pertumbuhan pada masa depan.
“Syarikat melihat cabaran itu sebagai sesuatu yang boleh diatasi dan bukan alasan untuk meninggalkan Malaysia, dan kami melihat keyakinan yang sama dalam prestasi pelaburan Malaysia yang lebih luas ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata bakat kekal sebagai kekuatan utama dan cabaran bagi Malaysia dalam menarik syarikat Amerika.
Beliau berkata walaupun syarikat menghargai tenaga kerja berkemahiran Malaysia, mereka berdepan kesukaran mendapatkan pekerja yang mempunyai kemahiran terkini, khususnya dalam bidang kejuruteraan lanjutan, digital, data dan kecerdasan buatan.
Tinjauan itu menerima maklum balas daripada 88 syarikat anggota AMCHAM, termasuk syarikat multinasional Amerika, yang terdiri daripada syarikat pengilang, perkhidmatan, perniagaan tani, serta sektor perlombongan dan tenaga.
-- BERNAMA