BERITA TERKINI   Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | Untung bersih CIMB Group menurun kepada RM1.88 bilion pada suku ketiga 2026 daripada RM2.08 bilion tahun lepas | Sindiket dadah cuba guna lapangan terbang di Pulau Pinang, Ipoh sebagai laluan alternatif selepas pihak berkuasa perketat kawalan keselamatan di KLIA - Bukit Aman | Juruterbang TUDM yang ditahan berperanan sebagai pengangkut bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah - Bukit Aman | 

OCBC Malaysia, Hana Bank Memeterai MoU Rangsang Perdagangan Malaysia-Korea Selatan

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan KEB Hana Bank, Korea Selatan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan kerjasama perbankan rentas sempadan selain memudahkan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia serta Korea Selatan.

MoU itu dimeterai di Menara OCBC, Kuala Lumpur, oleh Ketua Perbankan Borong OCBC Malaysia, Jeffrey Teoh dan Ketua Ibu Pejabat Serantau Asia Hana Bank, Park Yung Min, ia turut disaksikan oleh Duta Besar Korea Selatan yang dilantik ke Malaysia, Choi Jung-rok serta Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Malaysia, Tan Chor Sen.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua bank akan bekerjasama dalam kewangan korporat, perbankan pelaburan, kewangan perdagangan, pengurusan tunai, pasaran global dan perbankan koresponden, kata kedua-dua bank melalui satu kenyataan bersama hari ini. 

Ad Banner

Menurut Teoh, OCBC Malaysia telah memudahkan kira-kira US$1.1 bilion (US$1 = RM4.11) dalam pelaburan langsung asing (FDI) oleh perniagaan Korea Selatan ke Malaysia sejak 2022.

“Portfolio kami merangkumi syarikat utama Korea Selatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana,” katanya. 

Sementara itu, Park berkata Malaysia adalah hab strategik utama bagi syarikat Korea Selatan yang ingin berkembang ke ASEAN.

Ad Banner
Ad Banner

“Dengan menggabungkan kehadiran tempatan OCBC Malaysia yang meluas dan kepakaran pasaran yang kukuh dengan rangkaian global Hana Bank, kami akan menyediakan perkhidmatan kewangan yang canggih untuk menyokong pertumbuhan mampan perniagaan Korea Selatan di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Choi berkata perjanjian itu akan membantu mengurangkan halangan kewangan untuk perniagaan di kedua-dua negara.

“Ditambah dengan pemuktamadan Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-Malaysia, saya berharap ia akan menyumbang ke arah mempercepatkan pengembangan syarikat Korea ke pasaran Malaysia,” katanya.

OCBC Malaysia menjelaskan di bawah kerjasama itu, ia akan memanfaatkan OCBC One Connect, platform sokongan perniagaan korporat kumpulan itu untuk membantu syarikat Korea Selatan menubuhkan operasi di Malaysia dan berkembang merentasi ASEAN.

“Selain penyelesaian kewangan, OCBC Malaysia menyediakan pandangan pasaran, kepakaran industri, pemadanan perniagaan dan pengenalan strategik untuk membantu syarikat menavigasi pasaran baharu serta berhubung dengan rakan kongsi tempatan,” katanya.

-- BERNAMA