BERITA TERKINI   Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak - Setiausaha Agung | Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd menyusut kepada RM494.04 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM686.26 juta pada suku yang sama tahun lepas | Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | Untung bersih CIMB Group menurun kepada RM1.88 bilion pada suku ketiga 2026 daripada RM2.08 bilion tahun lepas | 

Awantec Perluas Rangkaian Perisian Sage Dengan Platform Pengurusan Kewangan Berkuasa AI

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Anak syarikat AwanBiru Technology Bhd (Awantec), Awantec Systems Sdn Bhd, memperluas portfolio penyelesaian Sage di Malaysia dengan menambah Sage Intacct, platform pengurusan kewangan berasaskan awan yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI), kepada penyelesaian Sage X3 yang sedia ditawarkannya.

Sage X3 ialah platform perancangan sumber perusahaan (ERP) yang komprehensif untuk perusahaan berasaskan produk, termasuk syarikat yang mempunyai operasi kompleks serta bersaiz sederhana hingga besar, yang memerlukan keupayaan menyeluruh dalam pengurusan rantaian bekalan, pembuatan dan pengedaran.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan penambahan Sage Intacct membolehkan Awantec menawarkan rangkaian penyelesaian perusahaan Sage yang lebih menyeluruh bagi memenuhi keperluan pelbagai model operasi perniagaan.

Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Awantec Azizah Ali berkata pengenalan Sage Intacct di Malaysia merupakan kesinambungan daripada inisiatif transformasi kewangan yang sedang dilaksanakan syarikat itu bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan beberapa syarikat korporat lain.

“Penambahan ini membolehkan Awantec memenuhi keperluan perniagaan yang lebih luas dengan menyediakan platform tangkas berasaskan AI kepada pemimpin kewangan dan ketua pegawai kewangan (CFO), yang dapat mengautomasikan aliran kerja rutin, menyediakan maklumat masa nyata serta menyokong pertumbuhan mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Sage bagi rantau Asia Pasifik Damon Scarr berkata Malaysia merupakan pasaran pertumbuhan penting bagi syarikat itu.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kerjasama dengan rakan kongsi seperti Awantec menggabungkan teknologi pengurusan kewangan berasaskan AI Sage dengan kepakaran tempatan yang diperlukan oleh perniagaan untuk memodenkan operasi dengan yakin.

“Kerjasama ini dapat membantu organisasi di Malaysia mengurangkan kerumitan, memperoleh gambaran lebih jelas mengenai operasi mereka dan membolehkan pasukan kewangan mempunyai lebih banyak masa untuk menumpukan perhatian kepada usaha memacu pertumbuhan,” katanya.

-- BERNAMA