Harga MSM Dijangka Kekal Melebihi RM4,100 Satu Tan Pada Disember - MPOC
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melebihi RM4,100 satu tan metrik pada Disember, disokong oleh harga yang kompetitif berbanding minyak sayuran lain, ketidaktentuan geopolitik serta potensi risiko bekalan pada 2027, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
MPOC memaklumkan bahawa sokongan lanjut mungkin datang daripada kemungkinan campur tangan kerajaan Indonesia terhadap eksport minyak sawit susulan jangkaan penurunan pengeluaran serta risiko pokok kelapa sawit di Malaysia memasuki fasa rehat biologi selepas mencatatkan pengeluaran tertinggi selama dua tahun berturut-turut pada 2025 dan 2026.
Kelemahan harga minyak sawit baru-baru ini mewujudkan peluang pembelian bagi penghantaran masa hadapan, khususnya untuk penghantaran pada suku pertama tahun 2027, menurut kenyataan itu.
"Minyak sawit kini merupakan minyak sayuran dengan harga paling kompetitif di pasaran-pasaran utama. Setakat pertengahan November, harganya adalah US$175 satu tan lebih rendah berbanding minyak kacang soya (US$1=RM4.11) dan US$310 setan lebih rendah berbanding minyak bunga matahari di India.
"Perbezaan harga ini dijangka menggalakkan aktiviti menambah stok semula di India susulan perayaan Diwali dan menjelang musim perkahwinan terutamanya memandangkan kesan fenomena El Nino terhadap pengeluaran minyak sawit di Asia Tenggara dijangka menjadi lebih ketara mulai suku kedua 2027 dan seterusnya," menurut kenyataan itu.
Di China, minyak sawit diniagakan pada harga US$70 setan lebih rendah berbanding minyak kacang soya pada November 2026 sekali gus menamatkan tempoh harga premium yang berterusan sejak Julai, 2024, perkembangan ini dijangka menggalakkan penggunaan minyak sawit yang lebih tinggi dalam campuran minyak sayuran.
MPOC menyatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina pada Februari, 2027 juga akan merosot pada masa yang sama dengan bulan Ramadan, berpotensi menyokong peningkatan penggunaan minyak sayuran serta permintaan terhadap minyak sawit.
Sementara itu, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 1.7 peratus kepada paras tertinggi bulanan sebanyak 2.15 juta tan pada bulan Oktober, susulan pengeluaran yang kukuh pada September.
"Gabungan cuaca panas yang dikaitkan dengan fenomena El Nino serta taburan hujan yang berselang-seli mungkin telah mempercepatkan proses kematangan tandan buah segar (TBS), sekali gus menyumbang kepada pengeluaran yang sangat tinggi pada bulan September dan Oktober," menurut kenyataan itu.
Dari segi eksport, jumlah penghantaran melonjak 55.7 peratus kepada 1.71 juta tan pada Oktober, jumlah bulanan tertinggi dalam tempoh dua tahun, sebahagiannya disebabkan oleh penghantaran yang dibawa ke hadapan dari bulan September akibat kekangan ketersediaan kapal.
India kekal sebagai destinasi eksport minyak sawit terbesar Malaysia pada bulan Oktober, dengan jumlah penghantaran mencecah 534,000 tan, menjadikan jumlah eksport keseluruhan sebanyak 3.1 juta tan bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2026.
MPOC menyatakan bahawa bekalan minyak sawit dijangka kekal mencukupi pada awal 2027 berikutan stok bawaan yang tinggi, bagaimanapun paras stok Malaysia mungkin merosot dengan pantas bermula suku kedua dan seterusnya sekiranya bekalan eksport dari Indonesia berkurangan,seterusnya akan mencetuskan permintaan lebih tinggi terhadap minyak sawit Malaysia.
Selain itu, menurut MPOC, ia mengunjurkan bahawa eksport minyak sawit Malaysia boleh mencecah 17 juta tan pada tahun 2027, mencerminkan trend pada tahun 2024 apabila jumlah eksport mencapai 16.9 juta tan susulan kerugian pengeluaran di Indonesia akibat fenomena El Niño.
-- BERNAMA