Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat, sejajar dengan kenaikan harga jongkong emas global serta sentimen berhati-hati yang berterusan menjelang pengumuman laporan gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) malam ini.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas ditutup tinggi sedikit dalam dagangan terhad menjelang pengumuman data penting pasaran buruh AS itu.
Beliau berkata emas berdepan tekanan jualan ketara pada awal minggu dan terus berdepan tekanan berikutan pengukuhan dolar AS serta peningkatan hasil Perbendaharaan AS.
“Hal ini berlaku walaupun jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS sekali lagi ditangguhkan sehingga Disember, yang secara teorinya sepatutnya memberi sedikit ruang kepada harga emas untuk bergerak lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2026 meningkat kepada US$4,199.30 setiap auns troy daripada US$4,172.70 pada Khamis, manakala Oktober 2026 naik kepada US$4,216.10 daripada US$4,189.30.
Kontrak November 2026 meningkat kepada US$4,232.80 setiap auns troy daripada US$4,206.00 semalam, manakala Disember 2026, Februari 2027 dan April 2027 masing-masing meningkat kepada US$4,232.80 daripada US$4,206.00 sebelum ini.
Jumlah dagangan susut kepada 144 lot daripada 174 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka berada pada 212 kontrak berbanding 213 kontrak sebelum ini.
Harga emas fizikal berada pada US$4,151.65 setiap auns troy mengikut penetapan London Bullion Market Association (LBMA) pada 1 Okt.
-- BERNAMA