Ulang Tahun Ke-23, Eco-Shop Tawar Hadiah RM250,000 Menerusi Kempen Beli Dan Menang
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Eco-Shop Malaysia Berhad (Eco-Shop) menganjurkan kempen beli dan menang di seluruh negara bermula 5 Okt hingga 29 Nov, dengan tawaran pelbagai hadiah bernilai RM250,000 sempena sambutan ulang tahun ke-23 syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia Berhad Jessica Ng dalam satu kenyataan berkata inisiatif tersebut, selari dengan fokus syarikat yang konsisten menyediakan barangan keperluan harian pada harga mampu milik sejak ditubuhkan.
“Selama 23 tahun, kami kekal komited untuk memastikan barang-barang keperluan harian mudah diperoleh pada harga yang mampu milik oleh rakyat Malaysia. Seiring dengan perkembangan syarikat ini, komitmen tersebut tidak pernah berubah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kempen yang dianjurkan dengan kerjasama Visa sebagai rakan kongsi pembayaran itu, merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan dan komuniti, di samping mencerminkan hasrat syarikat untuk terus menjadi jenama pilihan tempatan serta memperkasakan sumbangan kepada masyarakat pada masa hadapan.
Peraduan itu menawarkan 19 hadiah utama merangkumi sebuah kereta Proton X70 1.5TD Premium, tiga motosikal Honda RS150R dan 15 unit telefon pintar Samsung Galaxy Z Fold8.
Bagi menyertai peraduan berkenaan, pelanggan perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM35 dalam satu resit menggunakan kad Visa untuk menerima satu penyertaan, manakala ahli Eco-Shop layak mendapat dua penyertaan.
Melalui jumlah perbelanjaan yang sama, pelanggan turut berpeluang menerima hadiah percuma dengan pembelian di cawangan Eco-Shop di seluruh negara, sementara stok masih ada.
Maklumat lanjut mengenai kempen dan tawaran Eco-Shop boleh didapati menerusi laman media sosial rasmi mereka di Facebook (EcoShopMarketing), Instagram (ecoshop_my), TikTok (@ecoshopmalaysia) dan aplikasi XiaoHongShu/XHS (eco-shop_MY).
-- BERNAMA