BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 berlaku di Panginatan, Ranau, Sabah pada 10.57 pagi tadi - MetMalaysia | Anggota tentera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diseimbangkan susulan perkembangan di Pulau Balabac, Filipina - Mohamed Khaled  | Anggota tentera Malaysia di Lubnan dijangka pulang mulai Januari depan - Mohamed Khaled | Misi Pengaman Lubnan: Malaysia tunggu permintaan PBB selepas UNIFIL tamat akhir tahun ini  - Mohamed Khaled | Isu WhatsApp : MCMC gesa Meta perkemas proses rayuan, pemulihan akaun | 

Ringgit Dijangka Kukuh Minggu Depan Susulan Data Pekerjaan AS Lemah

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS minggu depan dan diniagakan dalam julat RM4.07-RM4.08 berikutan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah berbanding jangkaan boleh menguatkan kemungkinan untuk Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak menaikkan kadar faedah pada bulan ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data terkini pasaran buruh AS berpotensi memberi tekanan kepada dolar AS dan menyokong pengukuhan ringgit.

Ad Banner

Beliau berkata jumlah guna tenaga bukan ladang (NFP) di AS meningkat sebanyak 29,000 pada September, lebih rendah daripada jangkaan pasaran sebanyak 89,000 pekerjaan manakala kadar pengangguran menokok kepada 4.2 peratus.

Mohd Afzanizam berkata tumpuan pada minggu depan terarah kepada pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober, dengan penggiat pasaran dijangka menilai sasaran defisit fiskal kerajaan bagi 2027 serta sama ada terdapat pelarasan terhadap sasaran defisit tahun ini sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata perolehan kerajaan meningkat sebanyak 12 peratus kepada RM165.4 bilion pada separuh pertama 2026, didorong peningkatan 32 peratus kutipan cukai jualan dan perkhidmatan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun menurutnya perbelanjaan mengurus naik 14.4 peratus kepada RM94.6 bilion dalam tempoh sama, disumbangkan oleh peningkatan 61.2 peratus dalam subsidi kepada RM38.0 bilion.

“Sehubungan itu, peserta pasaran akan memberi perhatian kepada sasaran makroekonomi seperti KDNK, inflasi dan defisit fiskal bagi 2027 memandangkan risiko luaran dijangka kekal ketara pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.0820/0870 daripada 4.0715/0765 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama sepanjang minggu ini.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.5927/5983 daripada 4.6378/6435 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.3927/5.3993 daripada 5.3907/5.3973 pada minggu sebelum ini dan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.5906/2.5941 daripada 2.5764/2.5797.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1908/3.1952 daripada 3.1858/3.1900 pada minggu sebelumnya dan menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 228.2/228.6 daripada 227.4/227.8.

Bagaimanapun, unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1579/1778 daripada 12.2036/2234 pada akhir minggu lepas dan mencatatkan perubahan kecil berbanding peso Filipina kepada 6.52/6.54 daripada 6.52/6.53 sebelumnya.

-- BERNAMA