Nekad Lepaskan Kerja Tetap, Mohd Rosli Raih Hampir RM3,000 Sebulan Menerusi Projek Cili IPR-INTAN
Oleh Kamarul Halim M Kamal
KLUANG, 4 Okt (Bernama) -- Selepas hampir 20 tahun bergelar sebagai pekerja kilang, Mohd Rosli Jumain tidak menyangka keputusan melepaskan pekerjaan tetap itu bagi menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN), terbukti berhasil apabila meraih pendapatan hampir RM3,000 sebulan.
Beliau memperoleh kira-kira RM1,700 sebulan ketika bekerja di sebuah kilang di Parit Raja, Batu Pahat sebagai pekerja am dan terpaksa melakukan kerja lebih masa untuk meraih pendapatan yang memadai.
Mohd Rosli, 45, yang juga bapa empat anak itu nekad berhenti kerja pada 2024 untuk menyertai program IPR-INTAN dengan mengusahakan tanaman cili secara fertigasi walaupun bidang itu terlalu asing baginya.
“Sewaktu bekerja di kilang sebelum ini, saya perlu bekerja lebih masa untuk meraih pendapatan RM3,000 sebulan namun selepas menyertai IPR-INTAN, saya hanya perlu bekerja pada waktu siang.
“Alhamdulillah dengan bimbingan Jabatan Pertanian, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Kementerian Ekonomi serta pihak swasta, saya kini mampu menjual hasil cili bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi turut dipasarkan ke Singapura,” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui selepas Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengadakan lawatan kerja ke Projek IPR-INTAN di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kluang, Johor, baru-baru ini bagi meninjau perkembangan projek berkenaan.
Mohd Rosli berkata beliau diberi kepercayaan mengusahakan kawasan seluas hampir 1.2 hektar menerusi kontrak selama lima tahun yang menghasilkan lebih satu tan cili sebulan.
Penanaman itu dilaksanakan secara berperingkat mengikut petak khusus bagi memastikan hasil dituai secara berterusan dan memastikan bekalan tidak terputus.
“Setiap pokok cili biasanya mampu bertahan dan mengeluarkan hasil selama kira-kira enam bulan sebelum digantikan dengan pokok baharu. Pada masa ini, tanaman kami sudah memasuki pusingan ketiga.
“Di TKPM ini, peserta bukan sahaja menimba ilmu mengenai penanaman dan pertanian moden, tetapi turut dibimbing dalam aspek pengurusan serta pemasaran hasil,” katanya.
Beliau bersyukur kerana pendapatannya pada masa ini dapat membantu meringankan beban keluarga selain menjadikan keputusan melepaskan pekerjaan tetap itu sebagai tepat.
Sementara itu Akmal Nasrullah dalam kenyataan di laman Facebook berkata projek IPR-INTAN TKPM Kluang yang dilaksanakan IRDA bersama Chin Sam Chiap Sdn Bhd, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti ekonomi produktif.
Beliau berkata projek yang beroperasi di kawasan seluas 2.8 hektar itu memberi tumpuan kepada tanaman cili menerusi kaedah secara fertigasi selain sayur berdaun seperti sawi, salad dan kangkung.
Projek berkenaan turut menyasarkan penglibatan 25 peserta dengan sasaran pendapatan RM2,000 sebulan bagi setiap peserta.
Sehingga 31 Ogos lepas, projek itu menghasilkan masing-masing sebanyak 99,864.1 kilogram cili dan 339,749.9 kilogram sayur berdaun dengan jumlah hasil jualan mencecah RM1.618 juta.
Akmal Nasrullah berkata kejayaan IPR itu bukan setakat diukur melalui jumlah pengeluaran dan hasil jualan, namun apa lebih penting adalah bagaimana mereka dapat membina kemahiran, menguasai aktiviti pengeluaran dan pemasaran serta membangunkan keupayaan sebagai usahawan berdaya saing.
-- BERNAMA