Zetrix AI Serah Cadangan Selesai Tunggakan RM314 Juta Kepada Kerajaan
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Zetrix AI Bhd memaklumkan telah menyerahkan satu cadangan penyelesaian kepada kerajaan untuk dipertimbangkan bagi menangani isu tunggakan serahan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan keutamaan segera kumpulan itu adalah untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan serta berusaha memulihkan perkhidmatan yang terjejas dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan.
Pada 2 Oktober lepas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa perkhidmatan yang disediakan oleh MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen kutipan, akan digantung mulai 12.01 tengah malam pada 5 Oktober 2026.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen pemungut hasil digantung kerana gagal memindahkan RM314 juta kutipan hasil kepada kerajaan dari 19 Mei hingga 30 September 2026.
Loke berkata kerajaan mengambil tindakan itu selepas syarikat tersebut gagal menjelaskan tunggakan berkenaan walaupun kerajaan telah mengeluarkan 35 notis peringatan dan mengadakan sesi libat urus sejak Mei lepas.
Beliau berkata MYEG telah menyerahkan cek berjumlah RM231 juta bertarikh 30 September, namun bayaran itu tidak dapat diproses oleh pihak bank atas arahan syarikat terbabit.
Dalam pada itu, Zetrix AI menyatakan kekesalan di atas kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan dan orang awam berikutan penggantungan sementara perkhidmatan JPJ yang berkuat kuasa hari ini.
“Sebagai pihak penyedia perkhidmatan JPJ sejak 2000, kami memahami kepentingan dalam memastikan perkhidmatan ini terus mudah diakses, dipercayai dan memudahkan urusan orang ramai.
“Kumpulan ini sedia maklum dengan tanggungjawabnya kepada pelanggan dan kekal komited dalam memenuhi tanggungjawab itu kepada kerajaan,” maklum syarikat itu.
Zetrix AI juga memaklumkan pelanggan menggunakan perkhidmatan JPJ yang terjejas sebelum penggantungan pada 5 Oktober boleh meyakini bahawa transaksi mereka telah diproses serta dipenuhi dengan sewajarnya.
Selain itu, pada akhir dagangan hari ini, saham Zetrix AI susut lima sen atau 43.48 peratus kepada 6.5 sen dengan 13.73 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA