PJBumi Bhd Dapat Kelulusan Bursa Malaysia Bagi Cadangan Pecahan Saham
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) meluluskan cadangan pecahan saham PJBumi Bhd (PJBumi), yang dijangka meningkatkan mudah tunai dagangan dan menarik pangkalan pelabur yang lebih meluas dengan menurunkan harga dagangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PJBumi menyatakan bahawa kelulusan oleh Bursa Securities bagi cadangan pecahan saham itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk pematuhan sepenuhnya dengan peruntukan berkaitan Keperluan Penyenaraian Papan Utama (LR Utama) yang mengawalselia pelaksanaan itu.
Menurut kumpulan itu lagi, ia juga dikehendaki memaklumkan kepada Bursa Securities selepas cadangan pecahan saham itu diselesaikan dan mengemukakan salinan diperakui benar resolusi pemegang saham yang meluluskan pelaksanaan tersebut sebelum penyenaraian serta sebut harga pecahan saham itu.
“PJBumi dikehendaki mengemukakan pengesahan bertulis kepada Bursa Securities mengenai pematuhannya terhadap terma dan syarat kelulusan tersebut selepas selesainya cadangan pecahan saham.
“Selain itu, syarikat itu juga dikehendaki membuat pengumuman yang berkaitan, selaras dengan Perenggan 6.35(2)(a) dan (b) serta 6.35(4) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR Utama),” katanya.
Pada 26 Jun 2026, PJBumi telah mencadangkan pecahan saham pada nisbah satu kepada lima bagi meningkatkan mudah tunai dagangan dan memperluaskan pangkalan pelaburnya dengan menurunkan harga dagangan sahamnya.
Mengikut cadangan itu, setiap saham biasa sedia ada akan dipecahkan kepada lima saham, sekali gus meningkatkan modal saham terbitan firma kejuruteraan itu daripada 82 juta kepada 410 juta saham.
Pada tengah hari, harga saham PJBumi berada pada RM4.22, dengan 351,800 saham diniagakan.
-- BERNAMA