BERITA TERKINI   Tunggakan bayaran balik pinjaman untuk projek infrastruktur asas kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM8.084 bilion setakat 31 Dis tahun lepas - Chin Tong |  Kategori peminjam yang mencatatkan tunggakan pinjaman tertinggi adalah syarikat iaitu 62 peratus dan diikuti kerajaan negeri sekitar 32 peratus - Chin Tong  | Jerebu: PdPR dilaksanakan ikut kesesuaian, ambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di daerah Batu Pahat, Johor ditutup sementara bermula hari ini sehingga keadaan kembali selamat - KPM | Arahan henti aktiviti di luar bilik darjah termasuk keramaian dan sukan serta-merta di kawasan bacaan IPU lebih 100 - KPM | 

PEN SJ Electronics Labur US$70 Juta, Wujud Lebih 1,000 Pekerjaan Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- PEN SJ Electronics Sdn Bhd komited melabur lebih US$70 juta (US$1=RM4.08) untuk membangunkan kemudahan pengeluaran bahan pembungkusan termaju dan penyelesaian pengurusan haba di Pulau Pinang, yang dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata syarikat itu telah menandatangani perjanjian pajakan dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi sebuah kemudahan di Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3), yang akan mengeluarkan bahan antara muka terma (TIM) pada fasa pertama operasinya.

Beliau berkata pada fasa kedua, syarikat itu akan memperluas pengeluaran kepada penyebar haba bersepadu bagi memenuhi permintaan pelanggan tempatan dan global.

Ad Banner

“PEN SJ ialah anak syarikat S J Electronics, antara segelintir pengeluar di dunia dan satu-satunya syarikat di China yang berupaya mengeluarkan TIM1 berasaskan indium bertaraf tinggi secara besar-besaran.

“Pelaburan ini akan terus memperkukuh ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) Pulau Pinang, khususnya dalam bidang pembungkusan semikonduktor termaju dan pengurusan haba. Ia juga akan mengukuhkan kedudukan kita sebagai Silicon Valley di Timur,” katanya pada majlis pengumuman perjanjian pajakan antara PEN SJ dan PDC di sini hari ini.

Pengasas S J Electronics Dr Fay Hua, berkata syarikat itu merancang mengambil lebih 1,000 pekerja bagi operasi di Pulau Pinang, termasuk ramai jurutera yang akan terlibat dalam pembangunan dan pengendalian teknologi utama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada teknologi dan bahan yang diperlukan untuk pembungkusan semikonduktor termaju, termasuk teknologi pembungkusan 2.5D dan 3D.

“Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) meningkatkan keperluan terhadap bahan terma bagi mengurus haba yang dijana oleh peranti semikonduktor secara berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan turut berhasrat bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan menerusi program latihan industri dan latihan graduan bagi membangunkan tenaga kerja berkemahiran, khususnya jurutera untuk industri berkenaan.

Sementara itu, Chow berkata Pulau Pinang merekodkan RM17.3 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan pada separuh pertama tahun ini, dengan RM12.8 bilion atau 74 peratus daripadanya merupakan pelaburan langsung asing, manakala sektor E&E menyumbang RM11 bilion atau 63 peratus.

Beliau berkata negeri itu turut merekodkan eksport bernilai RM606 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos, menyumbang 45 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

Menurutnya, Pulau Pinang juga terus memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan strategik, memperkasa syarikat tempatan untuk mengambil bahagian dalam rantaian nilai bersama pemain global serta membangunkan ekosistem dan kumpulan bakat yang bersedia untuk memenuhi keperluan industri berasaskan AI.

-- BERNAMA