Pasaran Getah Ditutup Tinggi
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Rabu, sejajar dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan bekalan getah yang lebih terhad.
Seorang peniaga berkata gangguan berkaitan cuaca menjejaskan bekalan getah di beberapa wilayah pengeluar utama, dengan jerebu di Indonesia, cuaca tidak menentu di Thailand serta kesesakan pelabuhan di Côte d’Ivoire menyebabkan kekurangan bahan mentah dan kelewatan penghantaran.
“Banjir dan hujan lebat di timur Thailand merosakkan kira-kira 22,636 hektar ladang getah, menjejaskan 7,679 pekebun serta mengganggu aktiviti menoreh,” katanya kepada Bernama.
Sentimen pasaran turut mendapat sokongan daripada harga minyak mentah yang lebih kukuh berikutan kebimbangan baharu mengenai kemungkinan gangguan bekalan, selain prospek permintaan getah asli yang positif.
“Prospek bekalan dan permintaan yang lebih seimbang dalam sektor sarung tangan serta pertumbuhan permintaan yang mampan sekitar 10 peratus menyokong persekitaran pasaran yang lebih baik, sekali gus berpotensi meningkatkan permintaan terhadap getah asli,” katanya.
Bagaimanapun, kenaikan harga sebahagiannya dihadkan oleh kebimbangan terhadap prospek ekonomi global berikutan peningkatan defisit perdagangan Amerika Syarikat (AS), selain amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai harga tenaga yang kekal tinggi dan peningkatan hutang global.
Pada 3 petang, Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 2.5 sen kepada 1,056 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 5.5 sen kepada 764 sen sekilogram.
-- BERNAMA