Perbelanjaan Pembangunan Dijangka Naik 3.8 Peratus Kepada RM83 Bilion Pada 2027 - CIMB Securities
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Perbelanjaan pembangunan dijangka meningkat sederhana 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM83 bilion di bawah Belanjawan 2027, kata CIMB Securities.
Dalam Belanjawan 2026 kerajaan memperuntukkan RM80 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Penganalisis CIMB Securities Kenny Mak Hoy Ken dan Wei Yi Tan mengunjurkan subsidi petrol dan diesel berkurangan RM9 bilion tahun ke tahun kepada RM32 bilion pada 2027, sekali gus memberi lebih ruang fiskal untuk membiayai projek pembangunan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, nilai projek yang dianugerahkan dalam negara mencecah RM177 bilion, masing-masing bersamaan 76 peratus dan 72 peratus daripada jumlah nilai projek yang dianugerahkan pada 2024 (RM234 bilion) dan 2025 (RM244 bilion).
Bagaimanapun, projek yang dibiayai kerajaan hanya berjumlah RM37 bilion, masing-masing 57 peratus dan 63 peratus daripada paras yang dicatatkan pada 2024 dan 2025.
“Selain melihat kepada peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi 2027, kami lebih memberi tumpuan kepada nilai projek yang dianugerahkan dan pelaksanaannya.
"Hal ini berikutan sebahagian daripada peruntukan mungkin berkaitan dengan baki projek yang sedang berjalan dan bukannya tender baharu,” kata penganalisis berkenaan dalam satu laporan hari ini.
Penganalisis berkenaan turut berkata tempoh penganugerahan projek juga mungkin dipercepatkan menjelang pilihan raya umum ke-16 yang perlu diadakan selewat-lewatnya Februari 2028.
Infrastruktur bersasar
Laporan itu menjangkakan sebahagian besar perbelanjaan infrastruktur di bawah Belanjawan 2027 akan disalurkan kepada projek berskala kecil hingga sederhana, dengan tumpuan berterusan untuk merapatkan jurang pembangunan menerusi lebih banyak peruntukan kepada Malaysia Timur, khususnya Sabah dan Sarawak, serta kawasan pedalaman lain.
“Sehubungan itu, pada pandangan kami, bidang utama yang akan diberi tumpuan termasuk infrastruktur air dan penggantian paip, mitigasi banjir, infrastruktur luar bandar serta pelaburan dalam rangkaian grid,” kata penganalisis itu.
Antara tender infrastruktur bernilai besar yang berpotensi dilaksanakan di bawah Belanjawan 2027 termasuk fasa kedua projek bekalan air Rasau dan Langat 2, Kontrak Utama Awam 3 (CMC 3) bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang, Skim Bekalan Air Perak Utara serta projek jalan raya dan utiliti baharu di Sabah dan Sarawak, menurut laporan itu.
-- BERNAMA