SC Perkukuh Penguatkuasaan, RM1.98 Juta Dipulang Kepada 239 Pelabur Pada 2025 - Amir Hamzah
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjaya memulangkan RM1.98 juta kepada 239 pelabur sepanjang 2025 menerusi tindakan penguatkuasaan terhadap pelanggaran undang-undang pasaran modal.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sejumlah RM8.6 juta turut diperuntukkan bagi tujuan restitusi (pemulangan) melibatkan 933 pelabur, sekali gus mencerminkan usaha SC melindungi kepentingan pelabur dan memelihara integriti pasaran modal negara.
Beliau berkata rekod penguatkuasaan SC sepanjang tahun lepas turut menyaksikan sembilan sabitan jenayah dengan jumlah denda mahkamah sebanyak RM13.1 juta.
“Melalui tindakan sivil pula, mahkamah mengenakan dan mengambil balik keuntungan haram ataupun disgorgement dan penalti sivil berjumlah RM2.1 juta, manakala RM9.08 juta diperoleh melalui penyelesaian kawal selia,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu rekod keberkesanan penguatkuasaan SC dalam menangani isu berkaitan “mafia korporat” bagi melindungi pelabur dan menegakkan integriti pasaran modal.
Menjawab soalan asal Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai penentuan sempadan bidang kuasa antara SC dengan agensi kawal selia lain, Amir Hamzah berkata kerajaan menetapkan tanggungjawab setiap agensi berdasarkan mandat yang diperuntukkan di bawah undang-undang masing-masing.
Beliau berkata sebarang isu yang merentasi bidang kuasa lebih daripada satu agensi ditangani melalui perkongsian maklumat, rujukan kes serta penyelarasan siasatan dan tindakan penguatkuasaan.
Kerjasama antara SC dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2024 dan 2025 berjaya menyekat serta menggantung 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon yang dikaitkan dengan penipuan kewangan serta skim pelaburan palsu.
Selain itu, SC turut terlibat dalam platform penyelarasan nasional termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC) dan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang strukturnya diperkukuh pada Mac 2026.
-- BERNAMA