JS-SEZ Tarik RM132 Bilion Pelaburan Sehingga Jun 2026 - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menggabung kekuatan Malaysia dan Singapura merekodkan pelaburan sejumlah RM132 bilion dari 2025 hingga Jun 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong akan melancarkan Pelan Induk serta Blueprint JS-SEZ pada akhir tahun ini.
"Nexus Sedenak bakal menjadi kutub baharu industri di utara JS-SEZ, dengan potensi pelaburan RM12 bilion dan 45,000 (peluang) pekerjaan.
"Jalan dari persimpangan Sedenak dinaik taraf, disusuli dengan kemudahan yang dapat menghubungkan dengan pelabuhan utama dan jaringan perdagangan serantau," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri juga berkata melalui pendekatan Queen Bee, Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi mengelola rundingan rentas agensi untuk menarik syarikat peneraju sektor strategik melabur di JS-SEZ.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia dan Indonesia sepakat mempercepat pembukaan semula laluan perdagangan Terbedu-Entikong.
"Infrastruktur jalan terus dinaik taraf di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan bagi melancarkan pergerakan dua hala," kata beliau.
-- BERNAMA