BERITA TERKINI   Dua wanita maut kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan dengan lori di Jalan Yong Peng-Ayer Hitam,Johor petang tadi - Bomba | Piala FA: JDT 4-1 Penang FC | Belanjawan 2027 bukti komitmen kerajaan tangani permasalahan rakyat khususnya golongan M40 - TPM Ahmad Zahid | Belanjawan 2027: Kerajaan setuju naikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan kepada 490 hari daripada 360 hari | Belanjawan 2027: Kadar pencen terendah akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, manfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran ATM dan penerima pencen terbitan | 

Langkah-langkah Belanjawan 2027 Akan Sokong Pemilikan Rumah, Pertumbuhan Hartanah

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pengecualian duti setem untuk pemulihan dalam projek-projek  perumahan terbengkalai akan membantu memudahkan projek dihidupkan semula dan memberikan bantuan yang amat diperlukan kepada pembeli yang terjejas, kata Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Presiden REHDA Datuk Zaini Yusof berkata lanjutan elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus untuk projek dan aset teknologi hijau yang layak sehingga 31 Dis 2030, akan merangsang penggunaan dalam amalan kelestarian, khususnya kalangan pemaju kecil yang berhadapan dengan kos pelaksanaan yang agak tinggi.

Di samping itu, peluasan pengecualian duti setem untuk pembeli rumah kali pertama akan membantu meringankan beban kewangan pendahuluan calon pemilik rumah.

Ad Banner

Ini termasuk pengecualian penuh ke atas surat cara pemindahan dan perjanjian pinjaman untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 selain pelepasan yang dipertingkatkan membabitkan hartanah sehingga RM750,000, dengan pengecualian penuh ke atas RM500,000 pertama dan pengecualian 50 peratus ke atas jumlah baki.

“Komitmen berterusan kerajaan terhadap rumah mampu milik kekal menggalakkan, dengan hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat,” katanya melalui satu kenyataan selepas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Group Bhd, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata cadangan pengurangan kadar cukai satu peratus, yang menurunkan kadar bagi kumpulan pendapatan bercukai sebanyak RM70,000 kepada RM100,000 daripada 19 peratus kepada 18 peratus termasuk RM100,000 hingga RM150,000 kepada pembayar cukai yang layak akan menyampaikan lebih penjimatan ke atas pendapatan mereka.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Langkah-langkah ini mampu memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk bakal pembeli rumah, terutamanya pembeli kali pertama dan isi rumah berpendapatan sederhana, membantu mereka menguruskan kos pemilikan rumah selain menyokong keyakinan pembeli. 

“Ini menopang usaha yang lebih luas untuk menjadikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia dan mengekalkan permintaan dalam pasaran hartanah kediaman,” kata Leong.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan firma perunding dan penyedia perkhidmatan hartanah CBRE|WTW, Tan Ka Leong berkata jaminan pinjaman perumahan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) berjumlah RM20 bilion akan melonjakkan akses kepada pemilikan rumah untuk pembeli kali pertama, khususnya mereka yang bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Ini sepatutnya membantu mengekalkan permintaan dalam segmen mampu milik dan pasaran pertengahan dengan menangani kekangan pembiayaan yang mungkin menghalang isi rumah yang layak daripada memasuki pasaran perumahan.  

Beliau juga berkata pelaburan berterusan di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Lembah Chuping dan Zon Ekonomi Agribio Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan mengukuhkan pertumbuhan industri serta perniagaan tani, menyokong permintaan untuk tanah perindustrian, kemudahan logistik, penginapan pekerja dan kegunaan komersil yang berkaitan.

Secara keseluruhan, langkah yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027 menyediakan platform yang lebih seimbang untuk pertumbuhan pasaran hartanah dengan menangani kemampuan perumahan, penjanaan semula bandar, kapasiti infrastruktur serta nod pertumbuhan baharu yang diterajui pelaburan.

"Impaknya mungkin paling jelas di lokasi yang sokongan dasar dipadankan dengan kesediaan infrastruktur, ketersambungan dan penciptaan pekerjaan. 

“Dari perspektif hartanah, ini seharusnya meluaskan peluang melangkaui pasaran teras tradisional dan menyokong corak pembangunan yang lebih pelbagai merentasi sektor kediaman, perindustrian, logistik, komersial serta hospitaliti,” katanya lagi.

-- BERNAMA