Pasaran Getah Dijangka Meningkat Minggu Hadapan
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka meningkat pada minggu depan, di tengah-tengah kekangan bekalan di kawasan pengeluar getah menjelang musim tengkujuh.
Pakar industri Denis Low berkata angin kencang dan hujan di luar rmusim di kawasan pengeluar getah telah menjejaskan produktiviti dan menyekat bekalan getah pukal dan kering.
“Kami menjangkakan pembelian dan stok yang lebih rancak menjelang musim tengkujuh November. Harga akan meningkat seiring dengan dinamik penawaran dan permintaan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kekurangan lateks pukal juga mendorong pembelian spekulatif, yang boleh melonjakkan lagi harga.
Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) meramalkan pasaran getah didagangkan bercampur-campur dan kekal dalam jajaran pendek minggu depan, berikutan sentimen pasaran dipengaruhi oleh perkembangan di China, jangkaan inflasi di Amerika Syarikat (AS) dan gangguan rantaian bekalan.
Pembukaan semula pasaran China selepas cuti Hari Kebangsaan mampu menyokong minat belian, manakala jangkaan inflasi AS yang lebih tinggi boleh membawa kepada kenaikan kadar faedah selanjutnya, kata MARGMA.
“Kesan selepas yang berlarutan akibat banjir teruk di wilayah-wilayah pengeluar utama seperti Thailand terus mengganggu rantaian bekalan dan logistik.
“Digabungkan dengan cabaran pelaksanaan berterusan yang mengitari Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), faktor-faktor ini mungkin akan memacu perdagangan ke arah pasaran yang kurang dikawal,” katanya.
Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 menokok 16.5 sen kepada 1,061 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 19.5 sen kepada 769 sen sekilogram.
-- BERNAMA