BERITA TERKINI   Tabung Pos ditubuhkan dengan dana RM150 juta di bawah seliaan MCMC, beroperasi suku pertama 2027 – Fahmi | Agong kurnia Darjah Utama Seri Mahkota Negara kepada Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi  | Syed Saddiq, Bella Astillah sah bergelar suami isteri sekitar 10.40 pagi hari ini | Wakil Malaysia, Nur Syakura Mohamad Musa, dinobatkan juara kategori tilawah Al-Quran wanita pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66 | Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi tiba di Istana Negara pada pukul 10.08 pagi, diberi sambutan negara. | 

Belanjawan 2027 Bakal Perkukuh Perusahaan, Produktiviti, Kesejahteraan Isi Rumah - HLB

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) --  Belanjawan 2027 bakal memperkukuh aspirasi Malaysia untuk membina ekonomi yang lebih produktif dan berdaya tahan, sambil memastikan kemajuan tersebut membawa manfaat bermakna kepada perniagaan dan isi rumah.

Hong Leong Bank (HLB ) memaklumkan antara usaha yang diambil kerajaan menerusi belanjawan tersebut adalah untuk mengukuhkan perusahaan tempatan, mempercepat penggunaan kecerdasan buatan (AI), memajukan peralihan tenaga dan menyokong pembangunan perusahaan Halal, di samping langkah-langkah untuk meringankan kos sara hidup serta mengekalkan disiplin fiskal.

Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerajaan sebanyak 4.2 peratus hingga 5.2 peratus bagi  2027 secara umumnya selari dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) iaitu pada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, serta mencakupi unjuran HLB sebanyak 5.0 peratus.

Ad Banner

"HLB menjangkakan pertumbuhan bakal disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, sokongan dasar yang berterusan serta pelaburan dalam perkhidmatan digital bernilai tinggi dan AI.

“Aktiviti pelancongan yang berkait dengan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, Sukan SEA 2027 dan LIMA 2027 dijangka memberikan momentum tambahan,” menurut HLB dalam satu kenyataan hari ini.

Bank itu memaklumkan bahawa mengekalkan disiplin fiskal di samping aspirasi pertumbuhan ini penting untuk mengekalkan keyakinan serta memelihara keupayaan Malaysia dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Unjuran defisit fiskal mengecil kepada 3.3 peratus daripada KDNK atau RM77.5 bilion pada 2027, ditambah dengan peningkatan enam peratus anggaran hasil yang disemak semula bagi 2026, mewujudkan asas fiskal yang lebih kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan.

HLB memaklumkan kelaknya kualiti pelaburan dan keberkesanan pelaksanaan akan menjadi sama pentingnya dengan kadar pertumbuhan.

Belanjawan 2027 meletakkan rakyat sebagai keutamaan utama menerusi bantuan bersasar, langkah-langkah menyokong pertumbuhan gaji serta pelepasan cukai individu.

Perluasan sokongan melalui subsidi bahan api STR, SARA, dan BUDI MADANI memberikan kelegaan kepada rakyat dalam mendepani kenaikan kos sara hidup, manakala kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 memperkukuh asas pendapatan bagi pekerja berpendapatan rendah.

HLB percaya langkah-langkah ini bersama-sama dengan pengurangan cukai bagi golongan berpendapatan sederhana, had pelepasan cukai yang lebih tinggi dan pengecualian duti setem, akan dapat memberikan ruang lebih luas kepada isi rumah untuk mengurus perbelanjaan, membuat tabungan dan merealisasikan impian memiliki rumah.

Sementara itu, bank tersebut memaklumkan peruntukan hampir RM69 bilion untuk Kementerian Pendidikan yang merupakan jumlah keseluruhan terbesar menunjukkan komitmen teguh kerajaan untuk menjamin generasi masa depan negara.

HLB memaklumkan ia berkongsi keutamaan ini dengan menyokong sekolah secara aktif dan mempertingkatkan persekitaran pembelajaran menerusi sumbangan korporat serta perkongsian strategik.

“Program literasi kewangan utama kami, HLB DuitSmart dan HLB @ School, memperkasakan pelajar serta golongan muda Malaysia dengan kemahiran pengurusan wang yang penting, sekali gus membina asas yang kukuh bagi kesejahteraan kewangan sepanjang hayat,” menurutnya.

Mengenai sokongan untuk perniagaan, HLB memaklumkan jaminan pembiayaan, langkah-langkah percukaian serta sokongan terhadap kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam Belanjawan 2027 boleh membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkatkan produktiviti dan menembusi pasaran baharu.

"Merealisasikan manfaat ini memerlukan pembiayaan serta panduan praktikal dan pembangunan kemahiran.

"Kami akan terus menyokong perniagaan dalam membuat pelaburan yang memenuhi keperluan mereka serta memperkukuh daya saing jangka panjang," maklum bank itu.

Menurut HLB, sokongan terhadap pensijilan Halal boleh membuka peluang baharu bagi perusahaan tempatan yang disokong oleh keupayaan serta akses pasaran lebih kukuh.

“Pendekatan BizHalal HLB Islamic menyokong pertumbuhan ini, manakala inisiatif kewangan sosial seperti iTEKAD menggabungkan pembiayaan dengan pembangunan keupayaan bagi membantu usahawan yang kurang mendapat akses perkhidmatan membina kehidupan yang mampan,” maklumnya.

-- BERNAMA