Nilai Dagangan Malaysia Dan Uzbekistan Cecah RM430.20 Juta Setakat Jun 2026

KANGAR, 11 Okt (Bernama) -- Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan mencecah RM430.20 juta (US$108 juta) bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sekali gus mencerminkan potensi besar untuk memperluas kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan Rafedah Abdul Aziz berkata nilai dagangan sedia ada berpotensi untuk terus dipertingkatkan khususnya melalui sektor pembuatan, elektrik dan elektronik, industri makanan serta komoditi termasuk minyak dan produk berasaskan kelapa sawit.

"Potensi tersebut membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk memperluas akses pasaran, memperkukuh hubungan perniagaan serta meneroka peluang pelaburan baharu yang saling menguntungkan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau hari ini.

Ad Banner

Rafedah memaklumkan perkara itu kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mengucapkan selamat berangkat pulang kepada baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Lapangan Terbang Antarabangsa Islam Karimov Tashkent, Uzbekistan, pada Khamis lepas.

Raja Muda Perlis mengadakan lawatan kerja ke Uzbekistan bagi merasmikan Seminar Warisan Nabawi Antarabangsa (SWAN X) 2026 di Samarkand anjuran Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang turut disertai Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) sebagai rakan strategik penganjuran.

Rafedah berkata Kedutaan Besar Malaysia di Tashkent komited memperkukuh hubungan dua hala menerusi pelbagai libat urus strategik dengan pihak berkepentingan di Malaysia dan Uzbekistan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Usaha itu turut memberi tumpuan kepada penerokaan peluang kerjasama baharu di Uzbekistan khususnya, serta rantau Asia Tengah amnya.

"Ia meliputi perdagangan, pelaburan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), industri halal, kewangan Islam, pelancongan, kebudayaan, tenaga hijau, sains dan teknologi serta kecerdasan buatan (AI)," katanya.

-- BERNAMA