Peruntukan RM270 Juta Dalam Belanjawan 2027 Tingkat Akses PKS Kepada Modal Swasta

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM270 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat bersaiz sederhana serta perusahaan sosial mendapatkan modal swasta akan mengurangkan kos pembiayaan serta halangan mendapatkan modal.

Menurut Funding Societies Malaysia, modal swasta yang dimaksudkan adalah melalui platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).

Ketua Negaranya Chai Kien Poon berkata pelabur swasta pula akan menerapkan disiplin pengurusan risiko dan menyalurkan lebih banyak modal kepada perniagaan yang sukar mendapat akses kepada pembiayaan bank.

Ad Banner

Jelasnya, pihaknya juga mengalu-alukan pembiayaan sehingga RM1 bilion melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk kontraktor bumiputera.

“Perolehan memberi kontraktor peluang mendapatkan kerja khususnya kontraktor dalam kategori G1 hingga G4 sekali gus membuka ruang untuk mengembangkan perniagaan. Namun, pembiayaan amat penting bagi melaksanakan projek berkenaan.

“Mereka memerlukan modal permulaan untuk membeli bahan binaan dan membayar gaji pekerja sebelum menerima bayaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Funding Societies Malaysia berharap dapat meneruskan kerjasama yang membuahkan hasil bersama-sama dengan TERAJU.

Selain itu, Chai memberitahu duti setem tetap sebanyak RM10 bagi perjanjian pembiayaan P2P yang berkuat kuasa dari 1 Jan, 2027 hingga 31 Dis, 2030 akan mengurangkan kos mendapatkan modal khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kurang mendapat akses atau langsung tidak mendapat akses kepada pembiayaan.

Hal ini amat membantu dalam keadaan kos yang semakin meningkat serta ketidaktentuan pasaran akibat turun naik harga minyak dan gangguan rantaian bekalan.

Sementara itu, jaminan yang disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 akan mengurangkan premium risiko selain terus menarik dana institusi swasta ke platform P2P, berdasarkan pengalaman syarikat.

“Dalam jangka masa panjang, langkah ini juga akan mengurangkan kos modal bagi perniagaan. Langkah seterusnya adalah memperluas sebahagian daripada jaminan ini kepada lebih banyak saluran bukan bank, termasuk platform digital,” katanya.

Chai memberitahu Funding Societies Malaysia berhasrat memperkukuh kerjasama dengan CGC dan meneroka kerjasama pelengkap dengan SJPP bagi meningkatkan lagi akses PMKS kepada modal serta menyokong usaha mengekalkan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Keutamaan sekarang ialah pelaksanaan termasuk menetapkan kriteria kelayakan yang jelas, mempercepat proses dan menjangkau PMKS yang tidak mempunyai cagaran atau rekod perbankan yang panjang serta mereka yang memerlukan pembiayaan bernilai kecil selain kemudahan pembiayaan pusingan jangka pendek.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan sokongan ini sampai kepada perniagaan yang memerlukannya,” tambah beliau.

-- BERNAMA