BERITA TERKINI   Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026-2030 tumpu pengesanan awal dan rawatan penyakit hati - Dzulkefly  | KKM percepat pelantikan tetap pegawai farmasi kontrak, 3,545 masih berkhidmat setakat Julai lepas - Dzulkefly | KKM utama kebajikan jururawat, tingkat elaun pos basik kepada RM200 bagi tangani penghijrahan ke luar negara - Dzulkefly | Jerebu: Malaysia masih tunggu respons Indonesia untuk hantar bantuan - TPM Zahid | Belanjawan 2027 : NADMA tumpu wujud PPS kekal, perolehan aset, peralatan - TPM Zahid | 

Pengecualian Kenaikan Gaji Minimum Beri Ruang Kepada PMKS Tingkat Operasi, Produktiviti - MEF

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Cadangan pengecualian kenaikan gaji minimum bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan nilai jualan tahunan di bawah RM50 juta akan memberikan ruang yang diperlukan mereka untuk memperkukuh operasi serta meningkatkan produktiviti. 

Penasihat kanan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bagi kerajaan, media dan libat urus antarabangsa Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata cadangan pengecualian yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027 itu menunjukkan bahawa kerajaan memahami yang perniagaan beroperasi dalam keadaan berbeza dan tidak mempunyai kemampuan kewangan yang sama untuk menanggung kos operasi lebih tinggi. 

Justeru, pengecualian PMKS daripada kenaikan gaji minimum kebangsaan daripada RM1,700 kepada RM2,000, yang berkuat kuasa 1 Jun 2027, merupakan pendekatan yang praktikal dan bertanggungjawab bagi menyokong kelestarian perniagaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata kenaikan gaji bukan sahaja akan memberi kesan kepada gaji pokok, malah turut melibatkan kos pekerjaan berkaitan, termasuk caruman berkanun, bayaran kerja lebih masa dan perbelanjaan lain yang berkait dengan upah.

"Cadangan pengecualian itu merupakan langkah yang dialu-alukan untuk membantu perniagaan yang layak menyesuaikan model perniagaan mereka, meningkatkan kecekapan operasi serta membina keupayaan bagi menyediakan gaji yang lebih baik secara mampan.

"Ia juga menunjukkan bahawa peningkatan mampan pendapatan pekerja perlu disokong oleh perniagaan yang produktif, berdaya saing dan berdaya maju dari segi kewangan," katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu MEF menyatakan peningkatan kemudahan pembiayaan dan jaminan untuk perniagaan kepada RM57 bilion pada 2027 daripada RM50 bilion pada 2026 penting bagi PMKS untuk mengurus aliran tunai, melabur dalam pemerolehan peralatan, mengembangkan operasi serta memenuhi obligasi kewangan.

Persekutuan itu menyifatkan pembiayaan tambahan sebanyak RM5 bilion daripada Bank Negara Malaysia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas, khususnya yang menghadapi gangguan dan tekanan kos akibat konflik di Asia Barat, sebagai langkah yang tepat pada masanya.

MEF turut menggesa agar kesan daripada dasar gaji minimum dipantau dari segi pekerjaan, tahap gaji dan prestasi perniagaan bagi memastikan manfaat yang disasarkan dapat dicapai tanpa menimbulkan tekanan yang tidak diingini terhadap pengambilan pekerja atau kelangsungan perniagaan.

-- BERNAMA