BERITA TERKINI   MINDEF berunding dengan beberapa negara bagi dapatkan pembekal peluru berpandu permukaan-ke-permukaan untuk LCS 1 sebagai ganti NSM dari Norway – Mohamed Khaled | RCI bukan penentu kepada penyiapan LCS 1, pembuat kapal perlu pastikan tiada lagi kelewatan - Mohamed Khaled | 

Modenas Sasar Mesir Sebagai Hab Eksport Ke Afrika, Timur Tengah Menjelang 2028

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) sedang meneroka peluang menembusi pasaran Mesir menjelang akhir 2027 atau 2028, dengan merancang menjadikan negara itu sebagai hab eksport strategik untuk motosikal keluarannya ke seluruh Afrika dan Timur Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Roskan berkata syarikat itu kini dalam perbincangan dengan rakan kongsi berpotensi dari Mesir yang berminat dengan model skuter dan motosikal elektrik dan ia akan menyediakan sampel produk tidak lama lagi untuk penilaian pasaran dan penentuan harga.

Ad Banner

Beliau berkata inisiatif itu hasil daripada jemputan oleh Proton, yang juga anak syarikat dalam kumpulan DRB-HICOM pada tahun lepas untuk meneroka peluang mengeksport motosikal ke Mesir menerusi rangkaian perniagaannya yang sedia ada. Modenas juga anak syarikat DRB-HICOM.

“Buat masa ini, kami sedang berkomunikasi dengan pasukan dari Mesir yang berada di bawah syarikat induk yang sama dengan rakan kongsi Proton, tetapi mereka mengendalikan segmen kenderaan dua roda.

“Mereka berminat dengan skuter dan motosikal elektrik kami. Kini kami sedang dalam proses membekalkan beberapa sampel kepada mereka untuk menilai pasaran dan harga,” katanya kepada Bernama di pameran automotif yang menampilkan kenderaan Proton dan Modenas di sini semalam.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pameran itu diadakan sempena lawatan negara dua hari Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi ke Malaysia dari 9 hingga 10 Okt.

Ditemani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, El-Sisi meluangkan masa hampir 10 minit melihat kenderaan yang dipamerkan.

Roslan berkata Mesir menawarkan potensi besar sebagai hab pengedaran serantau memandangkan perjanjian perdagangan negara itu dengan negara-negara di Afrika dan Timur Tengah, yang boleh membuka akses pasaran lebih luas untuk produk Modenas.

“Mesir berupaya menawarkan peluang yang besar untuk menjadi hab eksport ke Afrika dan juga Timur Tengah kerana negara itu mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara berkenaan. Kita boleh menjadikan Mesir sebagai hab dan dari situ, produk kita boleh dieksport ke semua negara berkenaan,” katanya.

Roslan berkata, selain itu Modenas turut berusaha mengembangkan kehadirannya di pasaran antarabangsa dengan meneruskan usaha eksport sedia ada ke pasaran Filipina, China dan Indonesia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd Datuk Abdul Rashid Musa berkata pihaknya berhasrat mengukuhkan lagi kehadirannya di Mesir dan memperluas pasaran ke Afrika menerusi pengenalan model kenderaan baharu, memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan utiliti sukan (SUV) dan potensi kenderaan elektrik yang kian berkembang.

Beliau berkata Mesir kekal sebagai pasaran yang berpotensi besar bagi syarikat itu, disokong oleh hubungan dua hala yang kukuh dengan Malaysia dengan Mesir dan operasi pemasangan automotif yang telah lama bertapak di negara berkenaan.

“Kita mempunyai kerjasama yang baik di sana dan saya berpendapat Mesir mempunyai potensi pertumbuhan yang cukup baik. Hubungan kami juga baik, termasuk hubungan antara kerajaan dengan kerajaan dan hubungan baik ini memudahkan kami memasuki pasaran tertentu,” tambahnya.

Abdul Rashid berkata operasi pemasangan Proton di Mesir yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2024, sebelum ini tertumpu pada model Saga dan adanya perancangan untuk beralih kepada model yang lebih baharu.

Beliau berkata model terbaharu itu dijangka menawarkan penggunaan bahan api yang lebih cekap dan prestasi yang lebih baik, meskipun beberapa penyesuaian perlu dilakukan untuk memenuhi spesifikasi dan keperluan kawal selia di pasaran Mesir.

Abdul Rashid berkata Proton turut memenangi dua anugerah pada Anugerah Kereta Terbaik Mesir 2026, iaitu Pertumbuhan Jualan Tahunan Terbaik dan Daya Saing Ekonomi Terbaik.

Mengenai pengembangan pasaran pada masa depan, beliau berkata Proton merancang memperkenalkan lebih banyak model baharu di Mesir dan destinasi eksport lain dengan mengambil kira perbezaan dari segi cita rasa pasaran, spesifikasi kenderaan, keadaan iklim dan keperluan kawal selia.

El-Sisi mengadakan lawatan negara ke Malaysia atas jemputan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan itu merupakan lawatan negara pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden pada 2014, sekali gus menjadi langkah penting ke arah meningkatkan hubungan Malaysia-Mesir kepada Perkongsian Strategik selepas lebih enam dekad menjalin hubungan diplomatik.

-- BERNAMA