BERITA TERKINI   JPJ perketat kawal selia kaunter dengan hanya perantara berdaftar dibenarkan berurusan bagi pihak pelanggan mulai 1 Jan 2027 - KP JPJ | Pendaftaran individu, wakil syarikat sebagai perantara berdaftar akan dibuka mulai 1 Nov ini secara dalam talian - KP JPJ | Pindaan Akta 333 dijangka dibentangkan pada sidang pertama Parlimen tahun depan - Loke | Raja Abdullah II seru kerjasama pertahanan Malaysia–Jordan diperkukuh termasuk dalam bidang teknologi ketenteraan | Pas MyKomuter50 RM50 sebulan disasar dilaksana selewat-lewatnya 1 Jan 2027- Loke | 

BPMB Diberi Mandat Urus Lebih RM7 Bilion Babit Inisiatif Strategik Di Bawah Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) diberi mandat oleh kerajaan untuk melaksanakan inisiatif strategik melebihi RM7 bilion merentasi tujuh sektor keutamaan di bawah Belanjawan 2027.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu memaklumkan tujuh sektor keutamaan berkenaan merangkumi pemerkasaan eksport, kelestarian, pengangkutan dan logistik, pembangunan keusahawanan, industri pertumbuhan yang bernilai tinggi, pelancongan dan infrastruktur.

"Selaras dengan tema Belanjawan 2027, 'Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi', inisiatif ini menyokong tumpuan pihak kerajaan terhadap sektor utama yang memacu produktiviti, pelaburan, daya saing dan pertumbuhan ekonomi mampan," menurutnya.

Ad Banner

BPMB memaklumkan inisiatif itu memperkukuh mandat kumpulan berkenaan dengan menterjemahkan keutamaan Belanjawan 2027 kepada pembiayaan bersasar dan hasil pembangunan yang boleh diukur.

"Dengan peruntukan sekitar RM510 bilion, Belanjawan 2027 memacu pertumbuhan, produktiviti, kemampanan dan pembaharuan ekonomi yang lebih kukuh di bawah kerangka ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13). 

"Pada masa yang sama, inisiatif ini membolehkan BPMB menangani jurang pembiayaan, memajukan sektor strategik dan menyokong perniagaan Malaysia daripada fasa pertumbuhan domestik hingga ke peluasan pasaran antarabangsa," tambahnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ia turut memaklumkan penyepaduan SME Bank Malaysia Berhad (SME Bank) dan EXIM Bank Malaysia Berhad (EXIM Bank) memperkukuh lagi mandat BPMB sebagai institusi kewangan pembangunan bersepadu Malaysia.

“Penyepaduan itu membawa kekuatan modal yang lebih besar dan keupayaan yang lebih luas untuk memperluas akses kepada pembiayaan pembangunan, mempercepat pelaburan strategik dan menghasilkan impak pembangunan yang boleh diukur selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi Bank Negara Malaysia,” tambah BPMB lagi.

-- BERNAMA