BERITA TERKINI   Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca senjata api buatan sendiri ‘Ginsok’ di Sook Sabtu lepas - Ketua Polis Daerah Keningau | Polis rampas 42 laras senapang angin, 456 kotak kecil peluru serta tahan lelaki 50 tahun dalam operasi di Sook semalam - Ketua Polis Daerah Keningau | Jerebu: Johor laksana solat hajat di semua masjid dan surau bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih - Exco Mohd Fared | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat, Sepang, Kuantan dan Rompin turut ditutup esok - Fadhlina | Sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya ditutup esok - Fadhlina | 

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi susulan Saham Perbankan Meningkat

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan prestasi positif minggu lepas, didorong oleh aktiviti belian saham semasa harga murah dalam saham perbankan berikutan Belanjawan 2027 menawarkan sokongan tambahan menerusi langkah-langkah menyasarkan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembiayaan perumahan dan pertumbuhan kredit dipacu pelaburan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.56 mata atau 0.59 peratus kepada 1,618.01 berbanding 1,608.45 semasa ditutup pada Jumaat.

Ad Banner

Indeks petunjuk pasaran dibuka 3.34 mata lebih tinggi kepada 1,611.03, bergerak antara 1,608.91 dan 1,619.30 sepanjang sesi dagangan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 778 berbanding 334 manakala 520 kaunter tidak berubah, 1,185 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menokok kepada 3.36 bilion unit bernilai RM2.91 bilion berbanding 3.33 bilion unit bernilai RM2.90 bilion pada Jumaat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa pasaran menunjukkan sikap optimistik yang berhati-hati memandangkan pembentangan Belanjawan 2027 telah memberikan kejelasan dasar lebih baik, ia mengurangkan ketidakpastian dan membolehkan pelabur menilai prospek sektor-sektor tertentu dengan lebih tepat.

Beliau berkata walaupun manfaat belanjawan itu mungkin mengambil masa untuk direalisasikan, penekanannya terhadap penggunaan domestik, infrastruktur dan pelaburan dijangka menyokong sentimen pasaran.

“Melihat ke depan, kami menjangkakan aktiviti pembelian saham ketika harga murah secara terpilih akan menyokong pemulihan pasaran secara beransur-ansur pada minggu ini, khususnya dalam sektor perbankan dan saham mewah lain yang mempunyai asas kukuh.

“Bagaimanapun, tekanan jualan berterusan oleh pelabur asing, hasil bon tinggi dan ketidakpastian geopolitik mungkin mengehadkan potensi kenaikan. Dengan Belanjawan 2027 memberikan hala tuju dasar domestik yang lebih jelas, kami menjangkakan FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,600–1,630 minggu ini dengan kecenderungan positif,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 14 sen kepada RM9.95, Public Bank menambah sembilan sen kepada RM4.66, CIMB menokok empat sen kepada RM7.30 dan Tenaga Nasional melonjak 16 sen kepada RM13.04, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.90.

Bagi saham aktif, Zetrix AI dan JAKS Resources susut satu sen masing-masing kepada 7.5 sen dan 17 sen, VS Industry merosot dua sen kepada 32.5 sen dan Top Glove berkurangan tiga sen kepada 81.5 sen dan Nationgate menambah 16 sen kepada RM2.27.

Antara saham paling untung, Nestle naik 94 sen kepada RM91.10, MISC meningkat 47 sen kepada RM8.06, Vitrox dan MI Technovation menokok 24 sen masing-masing kepada RM11.24 dan RM7.02, manakala Hong Leong Financial menambah 16 sen to RM17.46.

Untuk saham paling rugi, Malaysian Pacific susut RM1.06 kepada RM43.02, United Plantations merosot 48 sen kepada RM30.22, Genting merosot 43 sen kepada RM1.45, Genting Malaysia berkurangan 26 sen kepada RM1.23 dan YTL Power menguncup 20 sen kepada RM5.50.

Saham Genting Malaysia merosot ke paras had bawah, mendorong Bursa Malaysia menggantung jualan singkat sepanjang hari dagangan (IDSS) sehingga esok jam 8.30 pagi, susulan kejatuhannya melebihi 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 200.94 mata kepada 17,482.16, Indeks FBM Emas naik 5.87 mata kepada 12,104.70, Indeks FBM Top 100 meningkat 16.44 mata kepada 11,887.85, Indeks FBM Emas Syariah merosot 1.29 mata kepada 12,131.07 manakala Indeks FBM ACE menguncup 93.87 mata kepada 5,560.70.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.02 mata kepada 180.77, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 169.31 mata kepada 18,594.13. Indeks Tenaga merosot 4.41 mata kepada 834.16 manakala Indeks Perladangan berkurangan 79.35 mata kepada 8,811.90.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 2.01 bilion unit bernilai RM2.61 bilion daripada 1.86 bilion unit bernilai RM2.54 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran turun kepada 878.57 juta unit bernilai RM121.03 juta daripada 915.33 juta unit bernilai RM137.87 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 470.43 juta unit bernilai RM180.09 juta daripada 556.12 juta unit bernilai RM226.61 juta sebelum ini.

Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 321.34 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (440.59 juta), pembinaan (160.31 juta), teknologi (516.09 juta), perkhidmatan kewangan (72.66 juta), hartanah (132.80 juta), perladangan (31.08 juta), amanah pelaburan hartanah (12.82 juta), dana tertutup (33,200), tenaga (91.99 juta), penjagaan kesihatan (111.66 juta), telekomunikasi dan media (28.03 juta), pengangkutan dan logistik (41.65 juta), utiliti (52.72 juta), dan amanah perniagaan (194,100).

-- BERNAMA