Bahagian IPO NWE Resources Bagi Orang Awam Terlebih Langganan 2.82 Kali
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bahagian tawaran awam permulaan (IPO) NWE Resources Group Bhd (NWE Resources) yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia terlebih langganan sebanyak 2.82 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menyatakan bahawa sebanyak 3,068 permohonan bagi 103.16 juta saham terbitan telah diterima daripada orang awam Malaysia.
“Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 1,536 permohonan bagi 38.93 saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan 1.88 kali.
“Bagi bahagian orang awam pula, sebanyak 1,532 permohonan untuk 64.23 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan 3.76 kali,” menurut syarikat itu.
Menurut NWE Resources, 10.8 juta saham terbitan yang diperuntukkan untuk permohonan oleh individu yang layak telah dilanggan sepenuhnya.
Sementara itu, sebanyak 105.34 juta saham terbitan yang ditawarkan menerusi penempatan persendirian untuk pelabur terpilih telah diperuntukkan sepenuhnya oleh ejen penempatan,
Syarikat itu juga memaklumkan bahawa saham bagi penempatan persendirian telah diperuntukkan kepada 16 pelabur yang dikenal pasti, dengan tiada seorang pun menjadi pemegang saham utama hasil daripada IPO tersebut.
-- BERNAMA