BERITA TERKINI   Ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 berbanding 6.0 peratus pada suku kedua 2026 - Anggaran Awal KDNK oleh DOSM | Kerjasama TVET Malaysia-China sedia 7,625 peluang latihan - TPM Ahmad Zahid | Majlis TVET Dunia bakal sediakan platform bagi pembangunan kemahiran global - Ahmad Zahid | Kerjasama TVET Malaysia–China pacu pekerjaan bernilai tinggi, pemindahan teknologi - TPM Ahmad Zahid | Malaysia cadang  tubuh Majlis TVET Dunia, China sebagai tuan rumah tetap - TPM Ahmad Zahid | 

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.3 Peratus Pada Suku Ketiga 2026, Pertumbuhan Merentasi Sektor

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Suku Ketiga 2026 hari ini, DOSM memaklumkan ini disokong oleh prestasi positif merentas kesemua sektor ekonomi, kecuali perlombongan dan pengkuarian yang merekodkan penguncupan. 

“Secara kumulatif, bagi tiga suku tahun pertama tahun 2026, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus, lebih tinggi berbanding 4.8 peratus yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2025,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Ad Banner

Sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga 2026 dengan merekodkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus (suku kedua 2026: 5.9 peratus), didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta kewangan dan insurans.

Sektor pembuatan mengukuh kepada 7.5 peratus (suku kedua 2026: 7.3 peratus), disokong oleh industri yang berorientasikan eksport terutamanya produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik. 

“Sektor pembinaan bertumbuh 6.0 peratus berbanding 6.5 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh subsektor bangunan bukan kediaman terutamanya bagi projek pembinaan pusat data dan aktiviti pembinaan pertukangan khas. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sektor pertanian mencatatkan pemulihan 1.3 peratus (suku kedua 2026: -3.7 peratus), disokong oleh subsektor kelapa sawit dan ternakan,” menurutnya.

Sebaliknya, sektor perlombongan dan pengkuarian merosot 4.9 peratus (suku kedua 2026: 9.2 peratus), terutamanya disebabkan oleh penyusutan dalam subsektor minyak mentah dan kondensat. 

KDNK preliminari yang menyediakan analisis terperinci dan komprehensif mengenai prestasi ekonomi bagi suku tahun ketiga 2026 akan diterbitkan pada 18 Nov 2026.

-- BERNAMA