BERITA TERKINI   Ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 berbanding 6.0 peratus pada suku kedua 2026 - Anggaran Awal KDNK oleh DOSM | Kerjasama TVET Malaysia-China sedia 7,625 peluang latihan - TPM Ahmad Zahid | Majlis TVET Dunia bakal sediakan platform bagi pembangunan kemahiran global - Ahmad Zahid | Kerjasama TVET Malaysia–China pacu pekerjaan bernilai tinggi, pemindahan teknologi - TPM Ahmad Zahid | Malaysia cadang  tubuh Majlis TVET Dunia, China sebagai tuan rumah tetap - TPM Ahmad Zahid | 

Malaysia Manfaatkan Bakat, Kepelbagaian Untuk Syarikat Digital Tembus Pasaran Global - Wilson

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia mahu lebih banyak syarikat kreatif digital tempatan membangunkan harta intelek (IP) sendiri, membina francais yang berjaya dan menembusi pasaran antarabangsa, kata Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata langkah seterusnya ialah menterjemahkan bakat kreatif dan kepelbagaian budaya negara kepada produk yang berjaya secara komersial, syarikat berdaya saing di peringkat global serta pekerjaan bernilai tinggi.

“Kejayaan kita tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan apa yang kita bantu hasilkan untuk pihak lain, tetapi juga berdasarkan apa yang kita cipta dan miliki sendiri,” katanya dalam ucaptama pada majlis perasmian LEVEL UP KL 2026 di sini hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab kreatif digital global memberi tumpuan kepada empat keutamaan, iaitu memperkasa modal insan, memperkukuh pengkomersialan dan pembiayaan harta intelek, menarik pelaburan bernilai tinggi serta membina jenama Malaysia menerusi eksport.

Dalam tempoh pelaksanaan lima tahun sehingga 2030, hala tuju itu menyasarkan pendapatan industri kreatif digital sebanyak RM9 bilion, eksport RM6 bilion, pelaburan strategik RM6 bilion serta pewujudan 10,000 pekerjaan bernilai tinggi.

Wilson berkata pencapaian sasaran itu memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri, pelabur, pendidik dan penggiat kreatif.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata Malaysia mempunyai asas kukuh dalam pembangunan bakat, dengan lebih daripada 45 institusi pengajian tinggi menawarkan kursus kreatif. Bagaimanapun, graduan dan profesional industri perlu dilengkapi kemahiran yang relevan, pengalaman praktikal serta peluang untuk menceburi kerjaya bernilai tinggi.

Beliau turut menekankan kepentingan melindungi harta intelek dan menghormati hak penggiat kreatif ketika teknologi terus mengubah landskap industri.

“Matlamat kita bukan sekadar membangunkan industri yang lebih maju dari segi teknologi, tetapi juga industri yang terus menghargai tenaga kerja dan hasil ciptaan mereka,” katanya.

Menurut beliau, platform seperti LEVEL UP KL dapat membantu studio tempatan menjalin hubungan dengan pelabur, penerbit dan pasaran antarabangsa, sekali gus membolehkan syarikat Malaysia meluaskan capaian serta membina perniagaan yang dikenali di peringkat global.

Dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), LEVEL UP KL merupakan platform serantau yang menghimpunkan pembangun permainan, penerbit, pelabur dan peneraju teknologi dari seluruh dunia bagi merancakkan peluang perniagaan, kerjasama antarabangsa serta pembangunan bakat.

-- BERNAMA