BERITA TERKINI   Tiada syarikat perladangan Malaysia terbabit dalam aktiviti pembakaran di Indonesia - Fahmi | Jerebu: MPOB teruskan libat urus dengan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia - Fahmi | Lima rakyat Malaysia ditahan bawa kokain di Jepun dipercayai keldai dadah, terima ganjaran RM8,000 seorang - Polis | Dadah lebih 500kg yang dirampas di Laos ditempah warga Filipina - Pengarah JSJN Bukit Aman | PM Anwar pengerusikan mesyuarat berkait pengurusan jerebu Isnin ini - Fahmi | 

Pahang Meterai 12 Komitmen Pelaburan Bernilai RM421 Juta Di SIBS 2026

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri Pahang hari ini memeterai 12 perjanjian komitmen pelaburan bernilai RM421 juta pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, melibatkan kerjasama dalam beberapa sektor ekonomi yang berpotensi merancakkan pembangunan negeri itu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata penyertaan kerajaan negeri menerusi Invest Pahang dalam sidang kemuncak itu memberi ruang kepada kerjasama strategik dan promosi peluang pelaburan kepada pelabur tempatan serta antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk terus memudah cara urusan pelabur dengan meminimumkan kerenah birokrasi, tanpa berkompromi dengan peraturan ditetapkan.

Ad Banner

“Pelabur mempunyai pilihan dan mereka akan pergi (untuk memilih) yang terbaik dan memudahkan mereka. Jadi, kita sediakan kemudahan seperti ini untuk tarik mereka," katanya pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen kerjasama Strategik bersama Kerajaan Negeri Pahang di SIBS 2026 di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosdy setiap komitmen pelaburan yang dimeterai perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan projek fizikal yang nyata agar limpahan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh negeri dan rakyat.

“Kita bukan sekadar bercakap, kita turut menubuhkan Pahang Barat Plus kerana tidak mahu rakyat Pahang yang berjumlah 1.67 juta orang berasa terpinggir atau perkembangan ekonomi tidak setara,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Terdahulu dalam ucapannya Wan Rosdy berkata kejayaan sesuatu kerjasama tidak hanya diukur berdasarkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) atau nilai pelaburan yang diumumkan, sebaliknya bergantung kepada keupayaan membawa setiap inisiatif ke peringkat pelaksanaan.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri memberi keutamaan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memperkukuh perusahaan tempatan dan membawa masuk teknologi baharu.

“Segala urusan ini akan diselaraskan dengan mengambil kira keperluan perundangan, teknikal, perancangan dan kelestarian yang berkuat kuasa. Kepada pelabur dan rakan strategik, saya mengalu-alukan anda untuk meneroka peluang di Pahang.

“Saya berharap SIBS 2026 akan menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan pelaburan dan membuka lembaran baharu bagi pembangunan ekonomi Pahang,” katanya.

-- BERNAMA