Pembangunan NAEZ Pelaburan Strategik Sokong Keterjaminan Makanan Negara
KANGAR, 22 Okt (Bernama) -- Pembangunan NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) di Chuping dekat Padang Besar merupakan pelaburan strategik jangka panjang bagi menyokong agenda keselamatan makanan negara serta membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu kepada Perlis dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata zon ekonomi itu dibangunkan sebagai model agromakanan moden yang mengintegrasikan teknologi, pengeluaran dan rantaian nilai dalam satu ekosistem mampan.
“Ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global, keterjaminan makanan menjadi semakin penting sebagai sebahagian daripada agenda keselamatan ekonomi negara.
“Projek ini juga dijangka meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan serta mewujudkan peluang pekerjaan, pelaburan dan aktiviti ekonomi baharu di Perlis,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Pembangunan NAEZ antara inisiatif yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 di bawah lunas kedua, iaitu mengutama semua negeri, menerusi pembangunan infrastruktur di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) serta NAEZ.
Mohamad Haris berkata NAEZ turut berpotensi menerapkan teknologi pertanian generasi baharu seperti mekanisasi, automasi, sistem pengairan pintar, analitik data dan amalan pertanian berketepatan tinggi.
“Sinergi antara NAEZ, CVIA dan PIP (Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - Depot Pelepasan Pedalaman Perlis) dijangka mewujudkan ekosistem pembangunan merangkumi sektor agromakanan, industri dan logistik sekali gus memperkukuh kedudukan Perlis sebagai hab ekonomi strategik di wilayah utara,” katanya.
Beliau berkata projek berkeluasan lebih 2,000 hektar itu diterajui NCIA dan dilaksanakan secara berfasa dengan kos pembangunan keseluruhan RM80 juta.
Diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diteruskan di bawah RMK13, NAEZ kini dalam fasa pembangunan infrastruktur utama yang merangkumi sistem pengairan, perparitan, jalan ladang dan kemudahan sokongan.
“Projek ini dibangunkan melalui kerjasama strategik antara NCIA dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) bagi mewujudkan ekosistem agribio bersepadu yang merangkumi pembangunan infrastruktur, pengeluaran pertanian berskala komersial serta penerapan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan daya tahan sektor agromakanan negara,” katanya.
Mohamad Haris berkata pembangunan infrastruktur kritikal dijangka siap secara berperingkat menjelang 2027 sebelum NAEZ berkembang sebagai hab agromakanan moden menjelang 2030.
Sebagai antara projek pemangkin utama di bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, NAEZ disasarkan menyumbang 2.5 peratus daripada sasaran kawasan pengeluaran jagung bijian negara seluas 80,000 hektar menjelang 2028, menerusi kawasan pengeluaran seluas lebih 2,000 hektar.
“NAEZ turut disasarkan menghasilkan antara 15,000 hingga 17,000 metrik tan jagung bijian setahun serta membantu mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan dengan nilai penjimatan mencecah RM25 juta setahun menjelang 2028,” katanya.
-- BERNAMA