Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini, didorong oleh ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 9.51 mata atau 0.59 peratus kepada 1,602.05 daripada 1,611.56 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.44 mata kepada 1,612.00, paras tertinggi setakat ini, sebelum menurun kepada paras terendah pada 1,601.92 pada pertengahan pagi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 505 berbanding 353 manakala 476 kaunter tidak berubah, 1,567 tidak diniagakan dan 59 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.63 bilion unit bernilai RM807.51 juta.
Apex Securities Bhd memaklumkan ketidaktentuan geopolitik kekal menjadi faktor utama dalam mempengaruhi pergerakan pasaran, dengan amaran Iran mengenai kemungkinan serangan baharu dan laporan mengenai kemungkinan tindak balas Amerika Syarikat (AS)-Israel menyebabkan harga minyak mentah Brent kekal melebihi US$114 setong dan menjejaskan kesediaan untuk mengambil risiko di Wall Street dan Eropah pada Jumaat lepas.
“Keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Rabu menjadi pemangkin utama dalam pasaran minggu ini, dengan pelabur memantau sebarang perubahan sentimen selepas hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun meningkat semula menghampiri paras 5.00 peratus.
“Tanpa mengambil kira ketegangan baharu di Asia Barat, kami menjangka FBM KLCI diniagakan secara berhati-hati pada minggu baharu ini.
“Harga minyak yang tinggi dijangka memberikan sokongan kepada saham berkaitan tenaga dan perladangan walaupun sentimen risiko pasaran secara keseluruhan kekal tidak stabil,” menurut firma broker itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun tujuh sen kepada RM9.90, Public Bank berkurangan lima sen kepada RM4.70, Tenaga Nasional menyusut 12 sen kepada RM13.18, CIMB merosot enam sen kepada RM7.09 dan IHH Healthcare menurun satu sen kepada RM7.89.
Dalam dagangan aktif, Zetrix AI berkurangan setengah sen kepada tujuh sen, Ni Hsin merosot dua sen kepada 47 sen, JAKS Resources menurun 1.5 sen kepada 15 sen manakala Axteria meningkat lima sen kepada 19 sen dan Revenue IF naik setengah sen kepada sembilan sen.
Solarvest mendahului kaunter paling untung, melonjak 21 sen kepada RM4.21, PPB Group menambah 17 sen kepada RM8.95, Ge-Shen menokok 15 sen kepada RM1.40, ViTrox Corporation naik 14 sen kepada RM10.60 dan Frontken Corporation meningkat 12 sen kepada RM5.11.
Kaunter paling rugi ialah United Plantations menurun 34 sen kepada RM30.06, YTL Power merosot 29 sen kepada RM5.03. Batu Kawan berkurangan 28 sen kepada RM19, Dutch Lady Milk menyusut 20 sen kepada RM28.40 dan Sarawak Plantation menurun 17 sen kepada RM4.12.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 42.35 mata kepada 11,951.10 dan Indeks FBM Top 100 merosot 46.26 mata kepada 11,751.35.
Indeks FBM Emas Shariah menurun 1.67 mata kepada 11,941.90 dan Indeks FBM ACE merosot 3.59 mata kepada 5,342.55 manakala Indeks FBM Mid 70 meningkat 30.76 mata kepada 17,201.09.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.36 mata kepada 175.76 dan Indeks Tenaga meningkat 12.90 mata kepada 847.57, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 115.91 mata kepada 18,538.41 dan Indeks Perladangan menurun 39.27 mata kepada 8,638.21.
-- BERNAMA