Malaysia Berada Pada Kedudukan Baik Sebagai Hab Pusat Data Serantau - Moody’s Ratings
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan baik untuk melaksanakan peranan penting sebagai hab pusat data serantau sekiranya berupaya mengekalkan kelebihan daya saingnya, menurut Moody’s Ratings.
Menurut agensi penarafan itu, kelebihan daya saing Malaysia menerima dorongan daripada bekalan tenaga yang tersedia dengan mudah pada harga kompetitif serta inisiatif kerajaan yang menawarkan sokongan.
Penolong Naib Presiden - Penarafan Moody’s Ratings Chelsia Ng berkata rangka kerja dasar dan syarat kelulusan sedia ada di Malaysia, telah memberi tumpuan kepada kecekapan pusat data, dengan kelayakan mendapatkan insentif cukai melalui skim Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) turut dikaitkan dengan penanda aras kecekapan penggunaan tenaga dan air.
“Johor yang menempatkan sebahagian besar daripada kapasiti pusat data negara, turut mengenakan syarat yang lebih ketat bagi kelulusan projek.
“Langkah ini sewajarnya menggalakkan penggunaan sumber yang lebih cekap, sekali gus membantu mengurangkan tekanan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur tenaga dan air seiring dengan pertumbuhan sektor ini,” kata Ng dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.
Moody’s Ratings menganggarkan kapasiti penjanaan tambahan kira-kira 14 gigawatt (GW) hingga 17 GW diperlukan menjelang 2035 bagi memenuhi pertambahan permintaan di Semenanjung Malaysia, yang dijangka melibatkan pelaburan kira-kira RM80 bilion hingga RM95 bilion oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan pengeluar tenaga bebas.
Menurut Ng pertumbuhan permintaan yang dipacu oleh pusat data akan memberi kesan positif kepada penarafan kredit syarikat utiliti dalam jangka panjang, namun perbelanjaan modal yang tinggi turut mewujudkan risiko pelaksanaan dan pembiayaan serta meningkatkan tahap leveraj kewangan sepanjang fasa pembangunan.
Beliau berkata berdasarkan unjuran kerajaan, pusat data berupaya menyumbang kira-kira 31 peratus daripada jumlah penggunaan elektrik di Semenanjung Malaysia menjelang 2035, meningkat daripada 4.0 peratus pada 2025.
“Perkembangan ini akan menyokong pertumbuhan permintaan elektrik secara struktur, dan kami menjangkakan permintaan di Semenanjung Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul kira-kira 5.8 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang, walaupun skala dan kepantasan pertumbuhan itu masih tertakluk kepada risiko pasaran dan pelaksanaan,” kata Ng.
Menurutnya keperluan terhadap kapasiti beban asas yang kukuh bagi menampung permintaan tenaga pusat data akan mengekalkan kepentingan gas sebagai bahan api peralihan sementara Malaysia terus meningkatkan kapasiti tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi menyokong kebolehpercayaan sistem.
Ng berkata perolehan kapasiti penjanaan berasaskan gas yang baharu dan dilanjutkan di bawah NewGen25 dan NewGen26 turut menekankan kepentingan gas dalam mengekalkan kebolehpercayaan sistem apabila permintaan terhadap elektrik semakin meningkat.
“Bagaimanapun, Malaysia perlu mengimbangi keperluan ini (untuk mengurangkan secara berperingkat) penjanaan elektrik berasaskan arang batu dengan keperluan menggantikan kapasiti penjanaan yang akan ditamatkan operasinya dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Keadaan ini akan menambah satu lagi lapisan risiko pelaburan dan pelaksanaan kepada peralihan tenaga,” katanya.
Ng berkata tenaga boleh baharu (TBB) juga boleh memenuhi sebahagian daripada pertambahan permintaan elektrik memandangkan kapasiti tenaga solar boleh dibangunkan segera.
Menurutnya operator pusat data turut mempunyai sasaran sifar bersih dan penyahkarbonan masing-masing, yang boleh mendorong permintaan terhadap perolehan bekalan elektrik berkaitan TBB dari semasa ke semasa.
Beliau berkata walaupun tenaga solar masih menyumbang secara sederhana dalam campuran penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia, kewajipan menyertakan BESS dalam program tender solar berskala besar (LSS) yang dilancarkan baru-baru ini menunjukkan peranan yang semakin penting bagi gabungan solar dan penyimpanan tenaga bagi memenuhi peningkatan permintaan sambil menyokong inisiatif penyahkarbonan Malaysia.
“Bagaimanapun, sifat penjanaan TBB yang tidak berterusan serta teknologi penyimpanan bateri sedia ada dijangka tidak dapat menyediakan sandaran yang mencukupi untuk memenuhi sepenuhnya keperluan bekalan elektrik pusat data sepanjang masa dalam jangka sederhana,” katanya.
Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan Malaysia akan mewajibkan semua projek tenaga solar pada masa akan datang di bawah program LSS keenam menyertakan BESS berikutan usaha kerajaan untuk memperkukuh kestabilan grid seiring dengan perluasan TBB.
Ng berkata pertumbuhan permintaan yang dipacu oleh pusat data akan memberi kesan positif kepada penarafan kredit syarikat utiliti dalam jangka panjang namun perbelanjaan modal yang tinggi turut membawa risiko pelaksanaan dan pembiayaan serta meningkatkan tahap leveraj kewangan sepanjang fasa pembangunan.
“Bagi TNB, perbelanjaan modal tahunan dijangka meningkat kepada kira-kira RM18 bilion, didorong oleh pelaburan yang lebih tinggi dalam infrastruktur grid dan kapasiti penjanaan.
“Pelaburan dalam penghantaran dan pengagihan elektrik yang dikawal selia menerima manfaat daripada rangka kerja pemulihan kos yang menyokong pertumbuhan hasil,” katanya.
Walaupun projek penjanaan yang tidak dikawal selia membawa risiko lebih besar kerana mengambil masa yang lebih lama untuk disiapkan sebelum mula menjana aliran tunai, Moody’s Ratings menjangkakan TNB mempunyai ruang kewangan yang mencukupi untuk menguruskan perbelanjaan modal yang besar dalam tempoh sederhana.
-- BERNAMA