BERITA TERKINI   Seorang anggota APMM maut, dua lagi cedera semasa operasi di perairan Kuala Perlis malam tadi. -- Ketua Polis Daerah Kangar | Surat pemakluman pembubaran DUN Sarawak telah dihantar ke SPR hari ini - Speaker | Kerajaan teliti langkah segera perbaiki tadbir urus GLC, GLIC termasuk cadangan membentangkan rang undang-undang milik entiti kerajaan - PM Anwar | Kerajaan setakat ini tidak mengenal pasti pelanggaran tadbir urus dalam GLC, GLIC seperti yang berlaku dalam 1MDB dan Tabung Haji - PM Anwar | Parlimen: Institusi GLIC, GLC jaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam perlu jadi contoh tadbir urus baik, integriti - PM | 

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Susulan Sentimen Risiko Global Semakin Baik

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan lebih tinggi hari ini, disokong oleh peningkatan minat pelabur global untuk mengambil risiko dalam keadaan penurunan harga minyak.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.18 mata atau 0.26 peratus kepada 1,608.54 berbanding 1,604.36 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka meningkat 2.98 mata kepada 1,607.34 dan diniagakan antara 1,606.14 hingga 1,611.90 sepanjang sesi dagangan pagi.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 585 berbanding 358 manakala 471 kaunter tidak berubah, 1,479 kaunter tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.76 bilion unit bernilai RM1.24 bilion.

Menurut Apex Securities Bhd sentimen risiko global secara keseluruhannya bertambah baik berikutan pemfailan tawaran awam permulaan oleh Anthropic telah menarik semula minat terhadap saham kecerdasan buatan dan meningkatkan prestasi pasaran ekuiti global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sekiranya ketegangan di Asia Barat tidak kembali memuncak, kami menjangkakan FBM KLCI mendapat sokongan daripada sentimen global yang semakin baik, dengan penurunan harga minyak memberikan sedikit kelegaan.

“Bagaimanapun, penurunan pada Isnin yang didorong oleh saham wajaran tinggi dalam sektor utiliti dan perbankan menyebabkan indeks itu kekal berhati-hati dalam masa terdekat,” menurut firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Antara saham wajaran tinggi, YTL Power International meningkat 15 sen kepada RM5.11, YTL Corporation menokok lapan sen kepada RM2.04, Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM13.32 manakala Maybank dan CIMB masing-masing naik satu sen kepada RM9.99 dan RM7.11.

Dalam dagangan aktif, Zetrix AI susut setengah sen kepada tujuh sen, Top Glove meningkat 3.5 sen kepada 96.5 sen manakala VS Industry, Axteria dan Ni Hsin masing-masing menokok dua sen kepada 35.5 sen, 21.5 sen dan 49.5 sen.

Kaunter paling untung diterajui Malaysian Pacific Industries dengan kenaikan 62 sen kepada RM41.20, ViTrox Corporation meningkat 38 sen kepada RM11.10, UMS Integration naik 30 sen kepada RM7.50, UWC Bhd menokok 27 sen kepada RM7.53 dan Dufu Technology naik 24 sen kepada RM3.22.

Antara kaunter paling rugi, United Plantations susut 40 sen kepada RM29.50, Fraser & Neave menurun 30 sen kepada RM19.70 dan PPB Group pula merosot 24 sen kepada RM8.78.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 41.12 mata kepada 12,018.12 dan Indeks FBM Top 100 menokok 35.41 mata kepada 11,810.35.

Indeks FBM Mid 70 naik 71.55 mata kepada 17,335.09, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 45.78 mata kepada 12,020.57 dan Indeks FBM ACE pula menokok 38.28 mata kepada 5,431.94.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.13 mata kepada 176.54, Indeks Tenaga naik 1.11 mata kepada 849.84, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 1.71 mata kepada 18,575.57 manakala Indeks Perladangan susut 19.79 mata kepada 8,604.18.

-- BERNAMA