Untung Bersih Nestle Malaysia Suku Ketiga Naik Kepada RM197.51 Juta, Umum Dividen 80 Sen
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Nestle (Malaysia) Bhd, mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM197.51 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2026 daripada RM114.04 juta pada suku yang sama tahun lepas, disokong oleh jualan yang lebih tinggi.
Hasil turut meningkat 5.3 peratus kepada RM1.86 bilion pada suku berkenaan daripada RM1.76 bilion sebelum ini, dipacu oleh permintaan domestik yang mengukuh merentas kategori produk utama, disokong oleh inovasi berterusan dan pelaksanaan strategi komersial yang berkesan, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Permintaan terhadap produk halal keluaran Malaysia oleh syarikat itu kekal stabil di pasaran eksport,” menurutnya.
Syarikat itu memaklumkan pihaknya terus melabur untuk jenama teras melalui inovasi, pembinaan jenama dan pelaksanaan strategi pasaran yang mantap, sekali gus memperkukuh kerelevanannya kepada pengguna dalam pelbagai situasi penggunaan sepanjang suku berkenaan.
“Ini termasuk edisi terbaharu kempen utama Nestlé iaitu Gaji Seumur Hidup, yang menghimpunkan pelbagai jenama di bawah portfolio syarikat dan terus memperkukuh hubungan dengan rakyat Malaysia,” menurutnya.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2026, keuntungan bersih syarikat itu meningkat kepada RM557.64 juta daripada RM387.50 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil naik kepada RM5.55 bilion daripada RM5.20 bilion, didorong oleh jualan domestik yang lebih kukuh.
Mengenai prospek, syarikat itu memaklumkan yang ia mengesahkan semula unjuran positif bagi tahun penuh 2026 dan kekal fokus untuk mengekalkan pertumbuhan menerusi pelaksanaan strategi berdisiplin, inovasi dan memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berkembang.
“Pelaburan yang berterusan dalam pendigitalan, automasi dan inisiatif produktiviti dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan keupayaan untuk bertindak dengan pantas.
“Disokong oleh kemudahan pembuatan tempatan, rangkaian pengedaran yang luas dan kumpulan bakat yang kukuh, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk menjana pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” menurutnya.
Sehubungan itu, lembaga pengarah mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 80 sen sesaham yang berjumlah RM187.60 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026. Dividen itu akan dibayar pada 9 Dis, 2026 kepada pemegang saham yang namanya tersenarai dalam rekod pendeposit pada 11 Nov, 2026.
“Di bawah peraturan semasa, pemegang saham tidak dikenakan cukai ke atas dividen satu peringkat,” tambahnya lagi.
-- BERNAMA