BERITA TERKINI   14,706 kandungan CSAM, 5,178 laman web lucah dan 828,438 kandungan judi dalam talian diturunkan sejak 2022 hingga Sept - Fahmi | Filem tayangan umum masih tertakluk penapisan LPF, 17 filem di bawah Skim Wajib Tayang kutip RM129.86 juta setakat 8 Okt - Fahmi | Persembahan artis luar negara kekal tertakluk kepada syarat dan garis panduan PUSPAL - Fahmi | Pengecualian penuh duti hiburan libat tiket tayangan filem dan teater tempatan, bukan konsert antarabangsa - Fahmi | Kerajaan sentiasa utamakan keseimbangan ekonomi, pengembangan industri kreatif & pembinaan sahsiah, nilai kerohanian masyarakat - Fahmi | 

Tencent Cloud Komited Terus Melabur Di Malaysia Dalam Tempoh Tiga Tahun

Daripada Harizah Hanim Mohamed

SHENZHEN, 29 Okt (Bernama) -- Tencent Cloud komited untuk terus melabur di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan memperkukuh infrastruktur rantau awan sedia ada, kata Pengurus Besar Tencent Cloud International dan Tencent Cloud Malaysia, Nucky Fang.

Fang berkata pasaran boleh menjangkakan lebih banyak aplikasi Tencent muncul dan berkembang seiring usaha syarikat memperkukuh infrastruktur rantau awannya di negara ini.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami akan terus melabur di Malaysia. Apa yang pasti, kami akan membuat pelaburan secara berterusan di negara ini,” katanya.

Fang, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah pelaburan itu.

Beliau berkata demikian dalam temu bual berkumpulan bersama media Asia Tenggara yang memberi tumpuan kepada pengembangan keupayaan kecerdasan buatan (AI) Tencent Cloud serta kerjasama tempatan bagi menyokong aspirasi ekonomi digital Asia Tenggara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Temu bual itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak Ekosistem Digital Global di Shenzhen, China.

Mengulas sambutan terhadap rantau awan pertama Tencent Cloud di Malaysia, beliau berkata syarikat itu telah menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai sektor sejak pelancarannya.

“Sasaran kami bukan hanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula, yang menunjukkan permintaan semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan awam.

“Kami juga bekerjasama dengan industri yang menjadi kekuatan ekosistem Tencent, termasuk perbankan dan perkhidmatan kewangan seperti pembayaran serta dompet elektronik. Kami turut bekerjasama dengan perusahaan berskala besar,” katanya.

Tencent Cloud, yang dilancarkan pada Ogos tahun ini menubuhkan rantau awan pertamanya di Malaysia yang merangkumi sehingga tiga zon di Johor, sekali gus memperkukuh infrastruktur awan dan AI bagi menyokong perusahaan di negara ini.

Rantau awan Malaysia itu akan menjadi sebahagian daripada rangkaian infrastruktur global Tencent Cloud International, yang kini merangkumi 66 zon ketersediaan di 23 rantau.

“Kami juga menawarkan produk kandungan janaan AI (AIGC) Tencent yang mampu menghasilkan video dan gambar serta telah digunakan oleh ramai pelanggan perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia,” katanya.

Fang berkata platform penjanaan video dan gambar itu semakin mendapat sambutan dalam pasaran tempatan, sekali gus membuka peluang kepada syarikat dan studio produksi untuk menghasilkan drama, treler serta iklan.

Ditanya sama ada penggunaan AI di Malaysia masih pada peringkat pelaksanaan atau projek rintis, Fang berkata Malaysia, bersama pasaran lain termasuk China, masih dalam fasa penerokaan.

“Kita semua sedang meneroka cara mengubah ketidaktentuan kepada kepastian. Contoh utama ialah meningkatkan kecekapan dengan bekerjasama dengan pelbagai syarikat di Asia untuk melihat bagaimana kecekapan pekerja di pejabat dapat dipertingkatkan.

“Kami menyediakan sokongan teknikal atau pemprosesan perniagaan bagi membantu pelanggan mengintegrasikan AI dengan lebih baik ke dalam operasi sebenar mereka,” katanya.

Beliau berkata peranan Tencent sebagai penyedia perkhidmatan melibatkan proses penerokaan dan komunikasi dua hala dengan pelanggan.

“Kami bersama rakan kongsi tempatan sedang meneroka cara mengintegrasikan teknologi dan perniagaan dengan AI bagi meningkatkan kecekapan.

“Oleh itu, kami kini bukan lagi sekadar penyedia perkhidmatan, sebaliknya turut menjadi rakan yang menyumbang secara bersama,” katanya.

-- BERNAMA