BERITA TERKINI   Pemeteraian CSA Kerajaan MADANI dengan Bersatu dan pembangkang jadi landasan perkukuh kestabilan politik, agenda pembangunan negara - Anwar | Laporan kaitkan JCorp dengan kebakaran hutan di Indonesia tidak berasas, palsu - MB Johor | Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat dasar | KKM buka permohonan fasa pertama pelantikan khas tetap 750 kekosongan Pegawai Perubatan Gred UD10 di Sabah, Sarawak pada 9-15 Nov | PRN Melaka: BN setuju beri MCA satu lagi kerusi untuk ditandingi, iaitu DUN Bandar Hilir - Wee Ka Siong | 

Kerajaan Ambil Pendekatan Bersasar Bantu PKS Terjejas – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan mengambil pendekatan bersasar bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas termasuk melalui penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman serta penangguhan pembayaran, kata Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata akses pembiayaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) turut meliputi pengusaha Sabah termasuk kawasan perindustrian. 

“Permohonan pembiayaan SJPP boleh dikemukakan melalui 23 institusi kewangan tertakluk kepada syarat dan penilaian kredit.

Ad Banner
Ad Banner

“Berdasarkan rekod, Sabah mencatatkan bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tertinggi iaitu kira-kira 53,000 orang,” katanya pada sesi Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 Peringkat Dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Amir berkata kerajaan sedang meneliti langkah perundangan dan penguatkuasaan bagi melindungi kepentingan PKS tempatan serta memastikan operasi syarikat e-dagang asing dalam pasaran negara dikawal selia.

RUU e-dagang akan dibentangkan pada mesyuarat akan datang untuk memperkukuh kawalan terhadap penjual dalam talian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, kerajaan akan mewajibkan platform e-dagang asing yang menjual kepada pengguna di Malaysia untuk mendaftar sebagai perniagaan tempatan dan langkah itu penting bagi memastikan persaingan yang adil di antara platform asing dengan usahawan tempatan. 

Platform berkenaan juga perlu memastikan produk yang dipasarkan mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan tempatan termasuk pensijilan SIRIM, demi melindungi pengguna, katanya.

Sementara itu, beliau berkata cukai jualan 10 peratus terhadap barangan bernilai rendah dari luar negara membantu mengurangkan perbezaan layanan dengan barangan tempatan.

“Selain itu, pendapatan perniagaan dalam talian juga tertakluk kepada cukai pendapatan seperti perniagaan konvensional.

“Layanan terhadap penyedia perkhidmatan luar negara ditentukan berdasarkan jenis bayaran dan perjanjian pengelakan pencukaian dua kali yang berkuat kuasa,” katanya. 

Menyentuh berkenaan pembangunan bakat, Amir berkata ia sememangnya perlu bergerak seiring dengan pelaburan. 

Beliau memberitahu, RM8 bilion yang disediakan untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) manakala Bakat MADANI menyasarkan 30,000 peluang pekerjaan baharu pada 2027 kepada golongan muda. 

“Potongan cukai bagi latihan yang diluluskan turut diberikan bagi menggalakkan majikan meningkatkan kemahiran pekerja,” katanya.

-- BERNAMA