Permintaan Penumpang Global Susut 0.5 Peratus Pada September Susulan Kelemahan Di Asia Barat, Amerika Utara

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Permintaan penumpang udara global keseluruhan yang diukur berdasarkan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), susut 0.5 peratus pada September 2026 berbanding bulan sama tahun lepas, mencerminkan kelemahan pasaran di Asia Barat dan Amerika Utara.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memaklumkan, permintaan penumpang meningkat 0.3 peratus jika rantau Asia Barat tidak diambil kira.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Geneva, Switzerland, persatuan itu memberitahu jumlah kapasiti yang diukur berdasarkan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK), menurun 0.2 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan berada pada paras 83.2 peratus, susut 0.3 mata peratusan berbanding setahun sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Kanan Kelestarian dan Ketua Pakar Ekonomi IATA Marie Owens Thomsen berkata prestasi itu bagaimanapun menunjukkan peningkatan berbanding Ogos dengan kebanyakan pasaran antarabangsa kembali mencatatkan pertumbuhan dan ia merupakan satu perkembangan yang dialu-alukan.

“Corak ini sebahagian besarnya berulang sepanjang tahun ini dan kita boleh menjangkakan keadaan ini berterusan berikutan ketidaktentuan geopolitik serta harga bahan api yang tidak menentu.

“Jumlah kapasiti tempat duduk penerbangan berjadual global dijangka kekal melebihi paras 2025 pada Oktober dan November, namun kadar pertumbuhannya masih lemah dan sangat tidak seimbang antara rantau,” tambahnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

IATA menyatakan permintaan penumpang antarabangsa meningkat 0.4 peratus pada September 2026 berbanding bulan sama tahun lepas, namun jika tidak termasuk rantau Asia Barat, permintaan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.7 peratus.

Sementara itu, kapasiti meningkat 0.5 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan berada pada paras 83.6 peratus.

Mengikut rantau, RPK antarabangsa meningkat 0.4 peratus manakala kapasiti naik 0.5 peratus berikutan peningkatan prestasi secara keseluruhan berbanding Ogos di kebanyakan laluan utama dengan sesetengahnya kembali mencatatkan pertumbuhan dan yang lain menyaksikan kadar penurunan yang semakin perlahan.

“Syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan peningkatan permintaan sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun. Kapasiti meningkat 0.4 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan berada pada paras 83.1 peratus, naik 0.3 mata peratusan berbanding September 2025.

“Jumlah trafik meningkat di empat daripada enam kawasan laluan antarabangsa terbesar yang menghubungkan Asia Pasifik.

“Bagi laluan dalam Asia, trafik menurun 0.9 peratus, namun kadar penurunan itu lebih perlahan berbanding Ogos,” jelas IATA yang mewakili lebih 370 syarikat penerbangan, merangkumi kira-kira 85 peratus daripada trafik udara global.

-- BERNAMA