BERITA TERKINI   Semua sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa esok - JPN | Liga Super: Penang FC 1-2 Melaka FC | Petugas media dinasihatkan buat laporan polis dan Majlis Media Malaysia jika berdepan keadaan tidak selesa sepanjang PRN Melaka - Fahmi | Semua calon diingatkan sentiasa hormati dan hargai keberadaan media sepanjang PRN Melaka - Fahmi | PRN Melaka: MCMC tidak masuk campur kempen di media sosial, agensi itu cuma pantau, ambil tindakan atas laporan - Fahmi | 

AirAsia Sasar Mulakan Penerbangan Ke Bahrain Menjelang Mac 2027

KUALA LUMPUR, 1 Nov  (Bernama) -- AirAsia Group Bhd menyasarkan untuk memulakan penerbangan ke Bahrain menjelang Mac 2027, tertakluk kepada keadaan serantau, dengan pelantikan ahli lembaga pengarah bagi operasi di Bahrain sebagai pencapaian penting dalam strategi pengembangan serantaunya.

Dalam kenyataan hari ini, AirAsia Group yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia X Bhd, memaklumkan barisan lembaga pengarah itu akan dipengerusikan oleh Dr Serra Kirdar, manakala Datuk Fam Lee Ee dilantik sebagai naib pengerusi.

“Turut menganggotai lembaga pengarah itu ialah Dr Faisal Khalid Kanoo, Nawaf Al Zayani, Akram Safa, Lord Ahmad of Wimbledon dan Tan Sri Jamaludin Ibrahim. Kesemua mereka merupakan pengarah bukan eksekutif,” tambahnya.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut syarikat penerbangan tambang rendah itu, pelantikan berkenaan merupakan kesinambungan daripada surat hasrat yang ditandatangani antara Capital A Bhd dengan Kementerian Pengangkutan dan Telekomunikasi Bahrain pada November 2025 dan pengumuman AirAsia pada Februari 2026 yang menetapkan Bahrain sebagai habnya di Timur Tengah.

Sementara itu, Penasihat AirAsia Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tony Fernandes berkata Bahrain memiliki kepentingan strategik kepada kumpulan itu sebagai pintu masuk yang menghubungkan ASEAN dengan Timur Tengah, Eropah dan rantau lain.

“Walaupun situasi geopolitik di rantau itu memerlukan kami menyelaraskan rancangan awal, komitmen kami terhadap Bahrain kekal tidak berubah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pelantikan Lembaga Pengarah AirAsia Bahrain pada hari ini, yang dianggotai barisan pemimpin berpengalaman, membantu mengukuhkan komitmen kami itu,” katanya.

-- BERNAMA