Bank Digesa Teroka Pembiayaan Berasaskan Harta Intelek Untuk Perniagaan
PETALING JAYA, 2 Nov (Bernama) -- Institusi perbankan digesa meneroka pembiayaan berasaskan harta intelek (IP) bagi memperluas peluang mendapatkan pembiayaan kepada syarikat, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.
Beliau berkata Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) telah memperkenalkan pembiayaan berasaskan IP bagi menunjukkan bahawa aset tidak ketara boleh digunakan sebagai cagaran untuk membantu syarikat mendapatkan pembiayaan.
"Saya berpendapat kebanyakan bank masih belum begitu biasa dengan pendekatan baharu dalam pembiayaan ini.
"Atas sebab itu, MIDF mengambil inisiatif menerajui usaha ini bagi menunjukkan kepada institusi perbankan lain bahawa pendekatan berkenaan boleh dilaksanakan dan berdaya maju, dengan adanya rangka kerja, aturan kontrak dan kerjasama yang sesuai, memandangkan rakan teknikal diperlukan untuk mengesahkan teknologi berkenaan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Laporan Akhir Projek Rintis Pembiayaan Berasaskan Harta Intelek di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Azizi Mustafa berkata sifat penilaian IP yang subjektif serta ketiadaan pasaran sekunder kekal menjadi cabaran utama dalam menggalakkan institusi kewangan menerima aset tidak ketara sebagai cagaran.
Beliau berkata, berbeza dengan tanah yang nilainya ditentukan oleh pelbagai faktor luaran, nilai aset tidak ketara boleh berubah dengan ketara dari semasa ke semasa.
"Jika peminjam menggunakan IP sebagai cagaran tetapi gagal membayar balik pinjaman, kita perlu mempertimbangkan di mana aset itu boleh dijual dan berapakah nilainya.
"Kita juga perlu menentukan sama ada hak milik atau paten boleh dipindahkan kepada pemilik baharu. Ini antara sebab bank perdagangan pada masa ini keberatan menerima IP sebagai cagaran," katanya.
Projek rintis itu dimeterai secara rasmi menerusi memorandum persefahaman antara MIDF dengan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) dan merupakan Projek Rintis Pembiayaan Harta Intelek pertama WIPO di peringkat global.
Pelaksanaan projek itu meletakkan Malaysia antara negara perintis dalam meneroka kaedah mengintegrasikan IP dalam keputusan pembiayaan, sekali gus membuka peluang pertumbuhan baharu kepada perniagaan berasaskan inovasi.
"Selain kelulusan pembiayaan, projek rintis itu membolehkan MIDF dan rakan-rakannya membangunkan rangka kerja praktikal yang merangkumi penilaian aset tidak ketara, tadbir urus, dokumentasi perundangan, penilaian risiko dan pemantauan.
"Inisiatif itu turut memperkukuh keupayaan institusi serta mewujudkan pengetahuan bernilai yang dapat menyokong pembangunan pembiayaan berasaskan IP di Malaysia pada masa hadapan," menurut MIDF dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA