EPMB Perluas Operasi Pemasangan, Keluarkan Dua Model Hibrid Baharu GWM Di Melaka
ALOR GAJAH, 2 Nov (Bernama) -- EP Manufacturing Bhd (EPMB) memperluaskan operasi pemasangan kenderaan di Melaka menerusi pelancaran dua model kenderaan hibrid baharu Great Wall Motor (GWM) jenis pelbagai guna (MPV) HEV Wey G9 dan utiliti sukan (SUV) Hibrid EC15S.
Pengarah Eksekutif EPMB Aidan Hamidon berkata ini menjadikan keseluruhannya pemasangan sebanyak lapan model di fasiliti syarikat itu di Pegoh di sini.
Beliau berkata pemasangan dua model itu bermula kurang lima bulan selepas pengeluaran sulung PHEV GWM Wey G9, sekali gus mencerminkan perkembangan kerjasama strategik antara EPMB dengan GWM sejak 2023.
Pada masa sama ini EPMB memasang empat model GWM dan masing-masing dua model SAIC-MG dan XPENG di fasiliti syarikat berkenaan.
"Sejak EPMB bekerjasama dengan GWM pada 2023, kerjasama pemasangan telah berkembang daripada satu model, iaitu HAVAL H6 HEV kepada empat model, termasuk Wey G9 PHEV dan Wey G9 HEV.
"Perluasan portfolio GWM mencerminkan keyakinan rakan kongsi terhadap keupayaan kami serta visi bersama bagi pertumbuhan dan pembangunan industri automotif Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh melancarkan pengeluaran kedua-dua model kenderaan itu dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif EPMB Hamidon Abdullah.
Dalam pada itu, Aidan juga menyifatkan pengeluaran kedua-dua model kenderaan hibrid itu dapat memperkukuh kedudukan Melaka sebagai antara hab pemasangan dan eksport automotif negara dengan komponen tempatan digunakan dalam proses pemasangan kenderaan itu.
Kerjasama EPMB dengan GWM menyaksikan pemasangan lebih 10,000 kenderaan jenama itu di Malaysia sejak operasi tempatan itu bermula pada Oktober 2024.
"Lebih 1,100 unit MPV GWM G9 yang dipasang di Malaysia telah dieksport ke Thailand dan Indonesia, membuktikan potensi industri automotif tempatan untuk menembusi pasaran serantau," katanya.
Selain itu, EPMB turut meningkatkan kapasiti tahunan fasiliti pengecatan kenderaan yang bakal dibangunkan di Melaka kepada lebih 30,000 unit setahun susulan peningkatan permintaan daripada pelanggan automotif.
Fasiliti itu dijangka mula berperasi pada penghujung Ogos 2027 selepas proses pengujian dan pentauliahan selesai.
Beliau berkata keupayaan pengecatan badan kenderaan secara dalaman juga dijangka meningkatkan kandungan tempatan, menjana nilai tambah serta memperkukuh ekosistem pemasangan automotif di negeri ini.
-- BERNAMA