Dialog Kembangkan Kapasiti Penyimpanan Tanjung Langsat Sebanyak 100,000 Meter Padu
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Dialog Group Bhd sedang menjalankan fasa pengembangan baharu di terminal Tanjung Langsatnya di Johor dengan tambahan kapasiti penyimpanan 100,000 meter padu untuk produk petroleum.
Penyedia perkhidmatan teknikal bersepadu itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pengembangan itu dijangka akan bermula secepat mungkin. Jangkaan siap menjelang pertengahan 2029 akan menjadikan jumlah kapasiti penyimpanan gabungannya di Tanjung Langsat kepada lebih 1.1 juta meter padu.
Pengembangan itu akan melibatkan anak syarikat tidak langsung milik penuhnya iaitu Dialog Terminals Langsat (3) Sdn Bhd (DTL3).
“Dialog akan menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPCC) fasiliti penyimpanan untuk petroleum serta produk berkaitan petrokimia yang disambungkan kepada kemudahan marin sedia ada,” katanya.
Ruang tambahan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan.
“Syarikat akan kekal fokus untuk mempelbagaikan operasinya merentasi sektor tenaga huluan, pertengahan dan hiliran, serta sektor tenaga mampan dan boleh baharu.
“Strategi tersebut akan meletakkan kumpulan untuk mengambil bahagian dalam, dan mendapat manfaat daripada, kitaran ekonomi serta harga minyak yang berbeza, sejajar dengan objektifnya bagi menjana pendapatan berulang jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA