MITI: 14 Lawatan Rasmi Luar Negara Jana Potensi Pelaburan Sebanyak RM59.5 Bilion
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Sebanyak 14 lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah dilaksanakan melalui agensi perdagangan selain pelaburan dari 2025 sehingga September 2026.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pelaksanaan berkenaan diadakan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta merekodkan potensi pelaburan berjumlah RM59.5 billion.
Pecahan potensi pelaburan tersebut melibatkan RM14.2 bilion telah mendapat kelulusan dan RM45.3 bilion masih dalam pelbagai peringkat rundingan dan disusuli secara berterusan, tambah MITI.
“Bagi persoalan mengenai pecahan pelaburan yang telah direalisasikan, dimaklumkan bahawa sesebuah projek biasanya mengambil masa di antara 18 hingga 24 bulan untuk direalisasikan, bergantung kepada skala dan kompleksiti projek serta keadaan ekonomi semasa,” jelas MITI dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.
Tambahnya, MIDA akan terus melaksanakan tindakan susulan, pemantauan dan pemudahcaraan bagi memastikan potensi pelaburan yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek sebenar dalam negara.
Dari sudut perdagangan, MITI memaklumkan lawatan rasmi antaranya ke Kenya, Brazil, United Kingdom, Turkiye, Jepun, Itali, Perancis, Korea Selatan, China, Thailand, India dan Rusia, telah membuahkan hasil yang positif dengan nilai eksport sebanyak RM6.77 bilion yang dijana menerusi libat urus peringkat tinggi.
“Selain itu, MATRADE juga terus mempelbagaikan promosi eksport ke pasaran baharu di rantau Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin.
Bagi tempoh dari Januari sehingga September 2026, ketiga-tiga rantau tersebut secara kolektif mencatatkan kenaikan eksport sebanyak 23.06 peratus kepada RM69.84 bilion,” menurut kementerian itu.
MITI memaklumkan pasaran yang mencatatkan pertumbuhan dua digit terdiri daripada Namibia (meningkat 426.1 peratus), Angola (meningkat 55.6 peratus), Brazil (meningkat 41.0 peratus), Tanzania (meningkat 35.9 peratus), Ethiopia (meningkat 28.5 peratus) dan Kenya (meningkat 11.6 peratus).
-- BERNAMA