BERITA TERKINI   Kerajaan akan pastikan pembangunan pusat data tidak menjejaskan bekalan elektrik kepada industri sedia ada - Menteri MITI | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Sebelum Susut Susulan Sentimen Berhati-hati

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia dibuka meningkat namun susut kemudiannya, diasak sentimen berhati-hati yang merentasi pasaran serantau susulan penunjuk yang bercampur-campur di pasaran Wall Street.

Pada 9.10 pagi ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 3.13 mata kepada 1,618.72 daripada penutupan semalam pada 1,621.85.

Ad Banner
Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.46 mata pada 1,623.31.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 160 berbanding 122 manakala 273 kaunter tidak berubah, sebanyak 2,206 kaunter tidak diniagakan dan 10 kaunter digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 138.01 juta unit bernilai RM56.89 juta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi Wall Street bercampur-campur pada akhir dagangan ketika perhatian pasaran dihalakan kepada pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) selain jangkaan kemungkinan berlakunya penjualan saham kecerdasan buatan (AI) jika Parti Demokrat menguasai kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat.

Di peringkat serantau, sentimen pasaran mendapat sokongan susulan komitmen China meningkatkan mudah tunai yuan di Hong Kong selain pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2026 yang lebih baik daripada jangkaan awal, katanya.

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI meningkat sedikit dan melepasi paras 1,620 mata semalam berikutan aktiviti pengumpulan saham oleh dana asing yang masih berterusan.

“Walaupun aktiviti dagangan secara amnya agak suram, aliran masuk bersih dana asing sejak akhir-akhir ini menjadi satu perkembangan yang memberangsangkan.

“Berikutan itu bagi dagangan hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat kecil 1,615 hingga 1,625 mata,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB masing-masing turun lima sen kepada RM9.99 dan RM6.93, Public Bank kekal tidak berubah pada RM4.81, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM13.18 manakala IHH Healthcare meraih satu sen kepada RM7.77.

Bagi kaunter paling aktif, Aizo naik satu sen kepada lapan sen, Dagang NeXchange, Bina Puri dan Zetrix AI masing-masing meraih setengah sen kepada 41 sen, 22 sen dan 6.5 sen manakala NWE Resources pula tidak berubah pada 20 sen.

MISC mendahului senarai saham paling untung apabila melonjak 12 sen kepada RM8.47, KLCC naik lapan sen kepada RM8.38, Malayan Cement meningkat enam sen kepada RM5.36 manakala Pentamaster dan Master Tec masing-masing meraih lima sen kepada RM5.32 dan RM1.10.

Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan United Plantations susut 20 sen kepada RM29.68, Hong Leong Bank merosot 18 sen kepada RM21.16, Telekom Malaysia turun sembilan sen kepada RM7.81 manakala Westports dan Sunway Construction susut lapan sen kepada RM7.19 dan RM7.64.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 20.0 mata kepada 12,048.32 manakala Indeks FBM Top 100 berkurangan 20.72 mata kepada 11,859.13.

Selain itu, Indeks FBM Mid 70 susut 20.86 mata kepada 17,298.04, Indeks FBM Emas Syariah turun 14.09 mata kepada 12,030.82 manakala Indeks FBM ACE menguncup 0.82 mata kepada 5,318.22.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.07 mata kepada 177.65, Indeks Tenaga naik 0.76 mata kepada 827.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 68.69 mata kepada 18,648.21 dan Indeks Perladangan turun 6.21 mata kepada 8,763.44.

-- BERNAMA