Sukuk Global Malaysia Terima Permintaan US$9.5 Bilion, Cermin Keyakinan Pelabur
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Penerbitan Sukuk Global Malaysia bernilai US$1.5 bilion pada akhir Julai, 2026 menerima permintaan langganan melebihi US$9.5 bilion, mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi dan kedudukan kredit negara.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa penerbitan dua tranche sukuk berkenaan mencatatkan lebihan langganan sebanyak 4.7 kali, sekali gus membolehkan kerajaan memperoleh kadar spread (jurang kadar) terendah dalam sejarah penerbitan Sukuk Global Malaysia.
"Permintaan yang kukuh tersebut membolehkan kerajaan menurunkan kadar spread sebanyak 30 mata asas (bps) daripada panduan harga awal bagi kedua-dua tranche tersebut.
"Ini menjadikan terbitan bertempoh matang 5.75-tahun ditetapkan pada 15 bps di atas kadar Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 5-tahun, iaitu pada 4.612 peratus setahun manakala terbitan 10-tahun ditetapkan pada 25 bps di atas kadar Perbendaharaan AS 10-tahun iaitu pada 4.949 peratus setahun," menurut kementerian itu.
MoF memaklumkan demikian dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Menurut kementerian itu, penetapan spread berkenaan hampir menyamai harga terbitan negara bertaraf A1 dan AA2, walaupun Malaysia mempunyai penarafan kredit berdaulat A3.
"Ini mencerminkan keyakinan terhadap prospek kredit Malaysia, didorong oleh asas makroekonomi yang kukuh serta komitmen terhadap disiplin fiskal dan pembaharuan struktur berterusan," menurut MoF.
Selain itu, kerajaan juga memastikan penerbitan hutang dibuat dalam had dan kerangka perundangan ditetapkan.
Selepas penerbitan sukuk global 2026, hutang luar pesisir kerajaan adalah sebanyak RM23 bilion, iaitu hanya sekitar 1.7 peratus daripada keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan dan masih jauh di bawah had statutori RM35 bilion di bawah Akta Pinjaman Luar Negeri 1963.
Pendedahan kepada hutang luar pesisir yang kecil ini juga membantu mengehadkan risiko turun naik mata wang dan ketidaktentuan pasaran antarabangsa, tambah kementerian.
-- BERNAMA