Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini selepas terjejas oleh inventori minyak sawit Malaysia yang telah mencatat rekod tertinggi pada Oktober, meningkatkan kebimbangan terhadap lambakan bekalan yang berterusan walaupun permintaan eksport lebih kukuh.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata tinjauan Reuters menganggarkan stok akhir Oktober akan melonjak sebanyak 6.8 peratus kepada 3.75 juta tan berbanding 3.51 juta tan yang dicatatkan semasa September, manakala pengeluaran dianggarkan meningkat 3.8 peratus kepada 2.20 juta tan daripada 2.12 juta tan.
Eksport diramalkan menokok 42.8 peratus kepada 1.60 juta tan daripada 1.12 juta tan, manakala import dijangka berkurangan kepada 50,000 tan daripada 58,000 tan.
“Kami melihat sokongan pada paras RM4,550 satu tan dan rintangan pada RM4,750 satu tan, dengan sentimen pasaran berkemungkinan kekal berhati-hati menjelang laporan rasmi bekalan dan permintaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM melanjutkan momentum penurunan harganya mulai Isnin, terjejas oleh ketiadaan pengecualian cukai eksport minyak sawit Malaysia dan jangkaan lonjakan berterusan dalam inventori minyak sawit Malaysia di tengah-tengah pengeluaran yang agak tinggi.
Beliau berkata penjualan besar-besaran di niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago dan harga tenaga juga telah mencetuskan kelemahan dalam niaga hadapan minyak sawit.
“Kami menjangkakan stok minyak sawit Malaysia pada akhir Oktober 2026 pada 3.81 juta tan, naik 8.47 peratus berbanding 3.51 juta tan pada September 2026. Pengeluaran bertambah sebanyak 3.8 peratus, eksport mengukuh 41 peratus, manakala import dan penggunaan domestik juga lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata eksport minyak sawit Malaysia pada Oktober dianggarkan oleh Intertek Testing Services pada 1.65 juta tan, berkembang sebanyak 45.41 peratus daripada 1.13 juta tan pada September, manakala juruukur kargo Amspec Agri Malaysia juga menganggarkan eksport minyak sawit pada 1.65 juta tan, meningkat sebanyak 73.46 peratus daripada anggaran September 2026.
“Dari segi pengeluaran, Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung menjangkakan pengeluaran minyak sawit Oktober di kilang-kilang belah selatan merosot sebanyak 0.84 peratus.
“Pasaran kini sedang menunggu UOB Kay Hian dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia untuk mengeluarkan data pengeluaran minyak sawit Malaysia penuh Oktober mereka bagi mendapatkan gambaran yang lebih baik,” katanya.
Pada penutupan, kontrak November 2026 susut RM83 kepada RM4,350 satu tan, Disember 2026 turun RM97 kepada RM4,457, Januari 2027 merosot RM98 kepada RM4,551, Februari 2027 jatuh RM96 kepada RM4,637, Mac 2027 kurang RM92 kepada RM4,710 dan April 2027 melemah sebanyak RM85 kepada RM4,760.
Jumlah dagangan bertambah kepada 88,707 lot berbanding 57,464 lot yang dicatatkan pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 337,745 kontrak daripada 334,103 sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk November Selatan susut RM50 kepada RM4,370 satu tan.
-- BERNAMA