BERITA TERKINI   MTL: Johor kenal pasti 337 lokasi tumpuan banjir, 67 jalan raya berisiko - Exco | 

LTAT, KWSP, KWAP, PERKESO Tidak Tertakluk Kepada Seliaan SC - Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Institusi Kewangan Bukan Bank (IKBB) seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Amanah Raya Berhad tidak tertakluk di bawah kerangka pengawalseliaan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF memaklumkan bahawa tadbir urus korporat dan pengurusan institusi berkenaan adalah tertakluk kepada akta masing-masing serta kerangka tadbir urus yang berkaitan.

"Walaubagaimanapun, institusi IKBB digalakkan untuk merujuk kepada Malaysian Code on Corporate Governance (MCCG) dan Malaysian Code for Institutional Investors yang memperuntukkan prinsip tadbir urus korporat, ia telah mengambil kira amalan antarabangsa serta prinsip diterima di peringkat global," menurut MoF dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (PH-Bandar Tun Razak) yang ingin tahu langkah seliaan tadbir urus korporat serta pengurusan berhemat di bawah IKBB melalui SC.

Mengulas lanjut, kementerian menyatakan sebagai contoh, walaupun LTAT tidak tertakluk sepenuhnya kepada penyeliaan SC, aktiviti pelaburan dan urus niaga korporatnya yang melibatkan syarikat tersenarai adalah tertakluk kepada keperluan kawal selia SC.

Ini termasuk urusan pengambilalihan, penggabungan dan pemerolehan wajib.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

LTAT juga turut bekerjasama rapat dengan SC bagi memastikan transaksi berkaitan mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Bagi KWSP, aktiviti pelaburannya dalam pasaran modal tempatan dilaksanakan selaras dengan undang-undang, peraturan dan piawaian pasaran ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta garis panduan SC.

Sementara itu, seliaan SC terhadap Amanah Raya Berhad hanya melibatkan aktiviti pasaran modal anak-anak syarikatnya termasuk AmanahRaya Trustees Bhd, AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd dan AmanahRaya Investment Management Sdn Bhd.

Menurut kementerian itu, kerangka pendaftaran, pelesenan dan pematuhan berkenaan menyokong pengurusan berhemat, akauntabiliti serta perlindungan kepentingan pelanggan dan pelabur.

Untuk KWAP pula, institusi itu mempunyai kerangka tadbir urus komprehensif yang turut mengambil kira amalan terbaik tadbir urus korporat, termasuk prinsip digariskan dalam MCCG.

-- BERNAMA