Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah setakat tengah hari ini susulan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi perbankan dan telekomunikasi terpilih yang terus menekan indeks utama dan seiringan dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau lain.
Setakat 12.30 tengah hari ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.42 mata atau 0.14 peratus kepada 1,619.43 daripada paras penutupan 1,621.85 semalam.
Indeks utama itu dibuka menokok 1.46 mata ke paras 1,623.31 dan bergerak dalam julat 1,616.00 hingga 1,623.31 sepanjang sesi dagangan pagi.
Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 534 berbanding 313, sebanyak 493 kaunter tidak berubah, 1,421 tidak diniagakan dan dagangan 10 kaunter lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.29 bilion unit bernilai RM862.40 juta.
Sementara itu, Apex Securities Bhd memaklumkan faktor-faktor seperti keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi kadar faedah pada 5 November yang kini tinggal sehari lagi, musim pelaporan prestasi kewangan bagi suku ketiga 2026 ketika ini serta tindakan pelabur mengambil kedudukan menjelang peluasan berperingkat konstituens atau komposisi FBM KLCI daripada 30 kepada 50 syarikat, turut menjadikan aliran dagangan pasaran yang lebih selektif.
Menurut firma pembrokeran itu, sentimen berkenaan dijejaskan lagi oleh ketidaktentuan politik susulan pilihan raya negeri Sarawak dan Melaka pada 14 November serta spekulasi berkaitan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI terus bergerak dalam fasa konsolidasi dalam julat 1,600 hingga 1,630 mata.
“Turun naik penilaian membabitkan saham kecerdasan buatan (AI) di pasaran luar serta perkembangan geopolitik berkemungkinan terus meningkatkan volatiliti pasaran, meskipun pemulihan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) domestik memberikan sedikit sokongan kepada pasaran,” maklumnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi tujuh sen kepada RM9.97, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.78, Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM13.12, CIMB berkurangan enam sen kepada RM6.92 manakala IHH Healthcare untung empat sen kepada RM7.80.
Bagi kaunter paling aktif, Aizo dan MAG tidak berubah masing-masing pada tujuh sen dan 15.5 sen manakala Land & General serta Velesto masing-masing susut setengah sen kepada 18 sen dan 17.5 sen dan Zetrix AI menokok setengah sen kepada 6.5 sen.
Concrete Engineering mendahului saham paling untung apabila melonjak 40 sen kepada RM4.70, manakala United Plantations meningkat 32 sen kepada RM30.20, Hong Leong Financial meraih 16 sen kepada RM17.64, Malayan Cement menokok 14 sen kepada RM5.44 dan MISC meningkat 13 sen kepada RM8.48.
Bagi kaunter paling rugi, Fraser & Neave merosot 48 sen kepada RM20.72, Nestle rugi 20 sen kepada RM95.68, Dutch Lady menguncup 18 sen kepada RM28.72, Sunway Construction berkurangan 13 sen kepada RM7.59 manakala Sarawak Oil Palms susut 11 sen kepada RM5.42.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 18.72 mata kepada 12,049.60, Indeks FBM Top 100 turun 13.02 mata kepada 11,866.83 manakala Indeks FBM ACE kehilangan 28.60 mata kepada 5,290.44.
Indeks FBM Mid 70 meningkat 0.83 mata kepada 17,319.73 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 6.92 mata kepada 12,051.83.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga berkurangan 5.73 mata kepada 821.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 74.38 mata kepada 18,642.53, Indeks Perladangan naik 17.93 mata kepada 8,787.58 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.05 mata kepada 177.53.
-- BERNAMA