JAG Sasar Pertumbuhan Dalam Sektor Kitar Semula Sisa Pusat Data, Panel Solar Dan Bateri EV
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Syarikat pengurusan sisa bersepadu iaitu JAG Bhd sedang meneroka peluang untuk mengitar semula peralatan pusat data yang tidak lagi digunakan, panel solar dan bateri kenderaan elektrik (EV) bagi memperluas operasi kitar semulanya.
Pengerusi dan Pengarah Eksekutifnya Datin Stacey Tan Siew Ching berkata kumpulan itu sedang memperluas kapasiti operasinya menerusi pembelian tanah perindustrian di Hicom Industrial Estate, Shah Alam, Selangor bagi menyediakan ruang tambahan untuk aktiviti pengeluaran dan penyimpanan.
Sebelum ini dilaporkan anak syarikat milik penuh JAG iaitu JAG Renewable Energy Sdn Bhd sedang membeli sebidang tanah perindustrian pegangan bebas seluas 15,000 meter persegi di Hicom Industrial Estate daripada Kobe Steel Ltd yang berpangkalan di Jepun pada harga RM36.89 juta.
Pembelian tanah itu bagi memperluas perniagaan pengurusan sisa bersepadu kumpulan berkenaan.
“Pengembangan ini akan memperkukuh keupayaan kami untuk merebut peluang baharu dalam sektor kitar semula bahan yang telah mencapai akhir jangka hayat penggunaannya termasuk daripada pusat data, panel solar dan bateri EV,” katanya kepada Bernama.
Menurut Tan, kumpulan itu turut menyasarkan untuk mendapatkan semula nilai daripada lebih banyak jenis sisa dan menjalankan operasi pada skala yang lebih besar dengan strategi pertumbuhannya turut memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan kontrak berbilang tahun daripada syarikat semikonduktor dan syarikat multinasional.
“Seiring dengan peningkatan pelaburan Malaysia dalam sektor semikonduktor, infrastruktur kecerdasan buatan (AI), pusat data dan pembuatan bernilai tinggi, kami melihat peluang untuk meletakkan JAG sebagai rakan pemulihan bahan yang dipercayai bagi menyokong perkembangan industri ini,” katanya.
Tan memberitahu JAG turut merancang untuk mengembangkan operasinya ke dalam segmen sisa tidak terjadual dan perkhidmatan rawatan sisa termasuk sisa industri minyak dan gas serta sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) daripada isi rumah seperti peralatan elektrik yang dibuang.
“Satu lagi bidang tumpuan ialah pemprosesan hiliran termasuk penempaan emas dan perak bagi menukarkan logam berharga yang dipulihkan kepada produk siap yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi,” katanya.
Tan berkata perniagaan pengurusan sisa menyeluruh kumpulan kekal sebagai penyumbang utama pendapatan kepada kumpulan itu merangkumi kira-kira 92 peratus daripada jumlah hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025.
Kumpulan itu mencatatkan keuntungan selama dua suku tahun berturut-turut dengan keuntungan selepas cukai berjumlah RM11.72 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2026, disokong oleh pemulihan operasi selepas gangguan akibat insiden saluran paip gas di Putra Heights pada 2025, harga logam yang menggalakkan serta peningkatan kecekapan pengeluaran.
Beliau memberitahu kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi serta memperkukuh keupayaan mendapatkan sumber dan memulihkan bahan bagi memperoleh nilai tambah yang lebih tinggi daripada bahan buangan.
“Prestasi pendapatan kami dipengaruhi oleh harga logam, kadar pertukaran asing dan keadaan industri global. Oleh itu, kami akan terus mengambil pendekatan berhati-hati serta mengurus inventori dan kos dengan teliti.
“Kami yakin terhadap kekuatan asas platform perniagaan pengurusan sisa menyeluruh kami,” kata Tan sambil menambah kumpulan itu merancang untuk memperluas penglibatannya dalam segmen huluan emas.
Bulan lepas, JAG mengumumkan pemerolehan pegangan sebanyak 6.17 peratus dalam Metal Bank Ltd yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX) pada harga A$752,400 (RM2.15 juta) menerusi tawaran saham persendirian.
“Langkah ini melengkapi operasi kitar semula dan pemulihan logam berharga sedia ada kami serta membuka peluang untuk mewujudkan sinergi jangka panjang yang berpotensi.
“Kesemua inisiatif ini akan memperkukuh perniagaan teras kami selain meletakkan JAG pada kedudukan yang lebih baik untuk mencapai pertumbuhan mampan dalam jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA